Isnin, 20 Ogos 2018 | 9:10pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari bergambar bersama penerima biasiswa dan cek pinjaman ketika hadir pada Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Perak rancang tingkatkan pinjaman pengajian tinggi RM8 juta

IPOH: Kerajaan negeri merancang menambah peruntukan pinjaman pengajian tinggi sehingga RM8 juta setahun bagi membolehkan lebih ramai anak Perak menerima bantuan bagi menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, berkata sehubungan itu pihaknya akan menyemak semula peruntukan yang diberi ketika ini pada belanjawan negeri akan datang.

“Setakat ini, peruntukan adalah sekitar RM6 juta (setahun). Saya memikirkan ia adalah kecil dan sudah beberapa tahun jumlah ini tidak meningkat.

“Jadi, kita mengharapkan pada kali ini dapat menyemak semula dan saya yakin kita mempunyai sumber untuk cuba meningkatkan peruntukan itu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Cek Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak Sesi 2018/2019 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, Yayasan Perak dan beberapa agensi lain dijangka mengikuti langkah sama meningkatkan jumlah pembiayaan untuk memberikan peluang lebih luas kepada pelajar mendapatkan kemudahan pembiayaan pelajaran.

“Program ini adalah satu komitmen kerajaan negeri dan pentadbiran baharu terhadap kemajuan pelajar, khususnya yang memasuki IPT dan universiti awam,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 32 pelajar berjaya memperoleh anugerah pencapaian akademik cemerlang, sekali gus membolehkan mereka menukar status pembiayaan pendidikan daripada pinjaman kepada biasiswa.

Berita Harian X