Ahad, 19 Ogos 2018 | 8:36pm
SETIAUSAHA Agung Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Hasnal Rezuan Merican (kanan) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan memerlukan sambil dibantu Pengurus JNA Professional Training Centre (JNA), Juita Abu Hanipah (dua dari kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF), Murniati Usman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program Klinik Usahawan dan Kebajikan. - Foto Amrullah Abdul Karim

Klinik Usahawan dan Kebajikan bentuk usahawan berjaya

RAWANG: Program Klinik Usahawan dan Kebajikan diyakini dapat membantu lebih ramai golongan sasar dibentuk menjadi usahawan berjaya.

Antara kelompok sasar program hasil usaha sama di antara JNA Professional Training Centre (JNA) dan Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF) itu ialah ibu tunggal, anak yatim, asnaf termasuk gelandangan.

Pengurus JNA, Juita Abu Hanipah, berkata dalam kelompok itu, ramai yang terbabit dalam perniagaan berskala kecil dan tidak bersedia dari segi pengetahuan serta pengalaman untuk mengukuhkan perniagaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan usaha mereka sering terjejas dan akhirnya gagal meneruskan perniagaan.

“Menerusi program ini, kita mengajak golongan ini mengenal pasti keupayaan dan mereka diberikan bimbingan menerusi beberapa modul yang kita sediakan.

“Mereka juga dibantu dari segi suntikan dana, malah dipantau sehingga mereka benar-benar mampu bergerak sendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Klinik Usahawan dan Kebajikan; Bantu untuk Dibantu di sini, hari ini.

Pada majlis sama, satu perjanjian usaha sama turut dimeterai di antara JNA dan PKUF yang disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat.

Turut hadir, Pengerusi PKUF, Murniati Usman; Setiausaha Agung Malaysian Community Care Foundation (MCCF), Hasnal Rezuan Merican dan Pengerusi Sekretariat Pemberdayaan Aspirasi Rakyat Kebangsaan (Spark Care), Ahmad Fathi Alias serta wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Juita berkata, jalinan usaha sama itu turut menitikberatkan peningkatan keupayaan akademik anak-anak ibu tunggal dan asnaf agar seiring dengan kanak-kanak lain yang sebaya mereka.

Seorang peserta klinik, Intan Syafinaz Ismail, 50, berkata sebagai ibu tunggal yang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan, program itu banyak mendedahkan mereka suasana baharu yang lebih positif.

“Kami bukan sahaja dapat meluaskan rangkaian, malah dapat mengintai peluang lebih besar dengan sokongan dana yang disediakan khusus untuk wanita,” katanya.

32 dibaca
Berita Harian X