Ahad, 19 Ogos 2018 | 12:39pm
KEADAAN berjerebu tidak menghalang nelayan sungai menjalankan aktiviti di Sungai Sarawak. - Foto Mohd Roji Kawi

IPU Sarawak naik, Miri catat bacaan tidak sihat

KUCHING: Miri terus mencatat indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan pada jam 11 pagi ini berada pada tahap 130.

Bacaan di bahagian lain turut menunjukkan peningkatan dengan Kuching yang berada pada tahap sederhana kini menghampiri tahap tidak sihat apabila IPU mencecah 92.

Beberapa bahagian lain di negeri ini turut mencatat bacaan sederhana namun menghampiri tahap tidak sihat apabila melebihi 80.

Kawasan berkenaan ialah Bintulu, Mukah, Kapit, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Serian dan Kota Samarahan.

Difahamkan keadaan jerebu dan penurunan kualiti udara di Miri disumbangkan kebakaran hutan yang berlaku berdekatan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Peningkatan tahap pencemaran udara di bahagian lain khususnya di Kuching, Kota Samarahan, Serian dan Sri Aman pula dikenal pasti akibat asap yang dibawa tiupan angin dari arah Kalimantan Barat, Indonesia.

Tinjauan di sekitar Kuching hari ini mendapati jerebu semakin tebal, namun orang ramai menjalankan aktiviti seperti biasa.

Sementara itu, difahamkan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak yang berpangkalan di Miri menggerakkan helikopter untuk membantu memadam kebakaran hutan di beberapa kawasan di utara Sarawak.

Berita Harian X