Jumaat, 17 Ogos 2018 | 3:06pm
EMPANGAN Bukit Merah.

Empangan Bukit Merah pada paras berjaga-jaga

IPOH: Empangan Bukit Merah di Semanggol yang membekalkan air untuk kegunaan 22,400 hektar kawasan sawah padi dan bekalan domestik penduduk di daerah Kerian kini berada pada paras berjaga-jaga berikutan musim panas berpanjangan.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Ir Dr Ahmad Anuar Othman, berkata walaupun keadaan masih boleh dikawal, bekalan air bagi pengairan sawah padi akan terjejas jika paras air di empangan itu terus merosot.

“Paras air di Empangan Bukit Merah adalah 7.86 meter, manakala paras tertinggi adalah 8.68 meter, jadi ia berada pada tahap berjaga-jaga namun masih bawah kawalan dan boleh membekalkan air ke kawasan pertanian.

“Namun sekiranya ia sampai ke paras enam meter, JPS terpaksa memberhentikan pengaliran air untuk aktiviti pertanian,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Sementara itu, jurutera JPS Daerah Kerian, Ir Safuandzi Abdullah berkata, air dari empangan itu kini sedang disalurkan ke kawasan jelapang padi di daerah ini sejak Rabu lalu sebagai bekalan musim utama.

“Dalam keadaan seperti ini, petani yang sedang mengusahakan sawah diminta berjimat menggunakan air yang dibekalkan di petak sawah mereka.

“Pesawah perlu memastikan paip yang berada di hujung lot dan di tepi parit ditutup bagi mengelakkan pembaziran serta batas bendang diperkukuh dan diperbaiki sekiranya bocor bagi membolehkan takungan air berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa, berkata dua empangan di Perak yang membekalkan air untuk kegunaan domestik di seluruh negeri ini pula berada pada paras normal.

Katanya, dua empangan iaitu Empangan Air Kuning di Taiping dan Empangan Sultan Azlan Shah di Ipoh berada di paras normal dan aliran sungai masih mencukupi untuk bekalan kepada pengguna.

“Berdasarkan rekod setakat sekarang, paras air di Empangan Air Kuning adalah 42.14 meter (paras tertinggi 42.52) dan Empangan Sultan Azlan Shah pula berada pada paras 244.88 meter (paras tertinggi 245 meter).

“Walaupun tiada hujan sejak dua minggu ini, namun ia berada di bawah kawalan dan setakat ini tiada masalah untuk membekalkan air untuk kegunaan domestik,” katanya.

51 dibaca
Berita Harian X