Selasa, 14 Ogos 2018 | 12:11pm
HASNI Mohamad

Soal Jawab MB dicadang di Sidang DUN Johor

ISKANDAR PUTERI: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini dicadangkan supaya menyediakan sesi ‘Soal Jawab MB (Menteri Besar)’.

Perkara itu disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Hasni Mohamad pada sesi Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Kali Ke-14, di Kota Iskandar.

Cadangan itu berbangkit selepas Tan Hong Pin (PH-DAP Skudai) menyuarakan pandangan supaya Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memanjangkan tempoh sesi soal jawab.

Pandangan itu disuarakan Hong Pin selepas mengambil kira dua sesi soal jawab semalam dan kelmarin hanya memperuntukkan masa yang sedikit.

Ia berikutan banyak isu masyarakat tidak dapat disuarakan pada sesi itu, sekali gus memerlukan masa yang lebih panjang untuk membolehkan lebih banyak isu diketengahkan.

Hasni menerusi cadangan itu mahu satu sesi ‘Soal Jawab MB’ untuk mengajukan pelbagai soalan semasa kepada pemimpin utama negeri ini.

“Saya mencadangkan, mungkin dalam satu masa, ada ‘MB Question Time’ untuk bertanyakan pelbagai soalan semasa. Ia mungkin penambahbaikan yang dilakukan di dalam Dewan,” katanya.

Hasni (BN-UMNO Benut) turut mencadangkan supaya isu yang disuarakan mengenai penambahan masa soal jawab dapat dibincangkan di peringkat jawatankuasa sebelum diputuskan.

Mengulas cadangan itu, Suhaizan tertarik dengan pendekatan disuarakan Ketua Pembangkang berkenaan terutama dalam menyediakan ruang ‘MB Question Time’ bagi menjawab banyak soalan.

“Tetapi itu (sesi soal jawab MB) boleh dibincangkan jawatankuasa untuk melihat kesesuaian. Saya bersetuju memberi lebihan masa untuk kebajikan rakyat dengan memanjangkan sesi soal jawab lisan sehingga jam 11 pagi,” katanya.

Katanya, jika dilihat baki perbahasan pada Selasa (hari ini) dan Rabu (esok) terdapat baki lapan jam 50 minit.

“Jika diambil kira purata 18 pembahas selama 20 minit maka masa perbahasan itu selama enam jam. Jadi ada baki dua jam 50 minit untuk sesi soalan lisan dan ada ruang tambahan sehingga jam 11 pagi untuk soalan lisan pada hari ini dan esok,” katanya.

Berita Harian X