Selasa, 14 Ogos 2018 | 9:23am

Penternak kambing peroleh RM9,000 sebulan

ARAU: Bermula dengan sepasang kambing jantan betina pada 2003, Husnizar Hussin, kini memiliki 140 ekor haiwan ternakan tersebut, termasuk kambing pedaging.

Bekas peniaga kedai makan berusia 38 tahun itu membuktikan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam menternak kambing boleh menghasilkan pendapatan lumayan, hingga kira-kira RM9,000 sebulan.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana saya juga menyediakan kambing untuk ibadah korban,” katanya semasa ditemui di kandang ternakan kambing di belakang rumahnya di Kampung Alor Merah, Jalan Kolam Air, Arau, di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila perniagaan kedai makannya tidak mendapat sambutan, beliau mula berjinak sebagai penternak kambing tanpa memohon sebarang pinjaman atau bantuan daripada mana-mana pihak.

“Alhamdulillah berkat kesabaran dan usaha bersungguh sungguh, hari ini saya menikmati hasilnya,” katanya yang mempunyai sebuah lagi kandang ternakan berhampiran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan) Dr Ahmad Salleh dan pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis Dr Zulkifli Ahmad hari ini meluangkan masa melihat usaha penternak berjaya itu.

Leh berkata, JPV turut menyumbang mesin memerah dan mempasteur susu baru-baru ini, selain menerima seekor kambing jantan baka Boer lima tahun lepas.

Beliau berkata, sumbangan mesin tersebut memudah kerjanya sehingga dapat memerah hampir 22 liter susu sehari yang diedarkan hingga ke luar Perlis, selain menjual daging kambing segar dan secara borong.

Sebotol 500 mililiter susu kambing dijual pada harga RM8.

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat Leh boleh menghubungi talian 013-4560789.

Berita Harian X