Jumaat, 10 Ogos 2018 | 6:03pm
SEBUAH tapak pembinaan rumah kedai 2 tingkat yang terbabit susulan kes curi air melalui sambungan paip air yang tidak sah ketika operasi yang dijalankan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di kawasan Pajam, Negeri Sembilan. - Foto Ihsan Sains

Curi air, SAINS rugi RM287,000

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan 21 serbuan berkaitan kes curi bekalan air tahun ini, membabitkan kerugian berjumlah RM287,000.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata daripada jumlah itu, 20 kes membabitkan premis komersial manakala satu premis domestik.

Bagaimanapun, katanya, belum ada kes dibawa ke mahkamah.

“Terbaru, Selasa lalu, dua premis masing-masing sebuah di Pajam dan Seremban diserbu kerana disyaki mencuri bekalan air dengan membuat sambungan paip haram.


KAKITANGAN Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyita sambungan paip air yang tidak sah ketika operasi yang dijalankan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) susulan kes curi air di dua buah premis yang disyaki di kawasan Seremban dan Pajam, Negeri Sembilan. - Foto Ihsan Sains

“Serbuan pertama dijalankan sepasukan pegawai dan anggota SPAN bersama Unit Penguatkuasaan SAINS di sebuah tapak pembinaan rumah kedai dua tingkat di Pajam, pada jam 10.30 pagi, diketuai oleh pegawai SPAN Mohd Shariff Abd Rahman.

“Ketika serbuan, penguat kuasa mendapati kontraktor pembinaan melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis Unplasticised Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 20 mililiter,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norzita berkata, projek pembinaan itu hampir 70 peratus siap dan semakan mendapati penghuni premis tidak pernah memiliki akaun berdaftar dengan SAINS.

Katanya, siasatan tapak mendapati penyambungan tidak sah dibuat secara terus tanpa melalui meter, untuk membancuh simen dan kegunaan pekerja binaan di premis itu.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan ke atas sebuah kedai menjual kereta terpakai di bandar Seremban.

“Bekalan air yang diperoleh melalui sambungan tidak sah digunakan untuk kegunaan harian penghuni premis, di samping penggunaan di tandas dan operasi harian mencuci kenderaan yang dijual di premis itu.

“Ujian klorin di lokasi mendapati bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS,” katanya.

Berikutan itu, katanya, SPAN menyita paip dan meter yang digunakan di lokasi sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Berita Harian X