Khamis, 9 Ogos 2018 | 11:48am
YANG Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud (dua dari kiri) serta Isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) melihat dengan lebih dekat bunga orkid, sempena ulangtahun ke 50th Sarawak Oil Palm Berhad (SOPB) di Majlis SOPB 50th Anniversary Gala Dinner, Hotel Imperial, Kuching. - Foto Nadim Bokhari
TUN Abdul Taib Mahmud (dua dari kiri) serta isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib diiringi Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kanan) memotong kek ulangtahun ke-50 Sarawak Oil Palm Berhad (SOPB) di Hotel Imperial, Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Dasar hutan Tok Nan kekal

KUCHING: Arahan moratorium terhadap aktiviti pembukaan hutan berskala besar bagi tujuan pembangunan ladang sawit di negeri ini masih berkuatkuasa kecuali di kawasan berstatus Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri tidak pernah menarik balik arahan itu yang dikeluarkan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem ketika menerajui kepemimpinan negeri ini pada 2015.

Justeru, katanya, pemain industri sawit harus memastikan kawasan perladangan sedia ada diuruskan secara lestari.

“Dasar yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tok Nan itu masih berkuatkuasa bagi mengelakkan pemusnahan hutan di negeri ini. Itu antara langkah kerajaan negeri untuk memastikan sumber hutan kita dikekalkan secara lestari dan kita tidak akan berkompromi mengenainya,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Ulangtahun Ke-50 Sarawak Oil Palm Berhad (SPOB), di sini malam tadi.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri Ketua Menteri, Datin Patinggi Dayang Juma’ani Tuanku Bujang.

SPOB adalah syarikat pertama yang mengusahakan ladang sawit di negeri ini sejak 1968 dan terus kekal menerajui industri komoditi itu hingga kini.

Abang Johari yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, berkata kerajaan negeri juga berusaha untuk memastikan 80 peratus daripada kawasan hutan yang masih dikekalkan itu ditanam dengan kayu balak berkualiti yang akan menjadi sumber bahan mentah untuk industri perkayuan.

“Kawasan tadahan hujan negeri ini yang terletak di ‘Jantung Borneo’ juga kita perluaskan dari 2.1 juta hektar kepada 2.7 juta hektar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keluasan kawasan tadahan hujan itu mampu membekalkan air untuk keperluan empangan di Bakun, Baleh, Murum dan Batang Ai.

“Bagi kawasan Estet Hutan Kekal (PFE) kerajaan negeri merancang untuk meningkatkannya dari 4.3 juta hektar kepada enam juta hektar manakala Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) pula dari 788,000 hektar kepada satu juta hektar,” katanya.

Berita Harian X