Isnin, 6 Ogos 2018 | 4:06pm
(Dari kiri) Mohd Jasmi Mukhtar, 51, Ahmad Nazron A Rahman dan Mohd Fikre Ghazi menunjukkan batu karang (coral) yang siap dipotong untuk proses pemuliharaan sebelum diletakkan ke Coral farm pada Program My Coral 2.0 di Pulau Bidong. - Foto Ghazali Kori

Tiga nelayan ceburi penternakan terumbu karang

SETIU: Tiga nelayan Kuala Nerus mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi yang pertama dari kalangan nelayan negara ini menceburi bidang penternakan terumbu karang. .

Mohd Fikre Ghazi, 42, Mohd Jasmi Mukhtar, 51, dan Ahmad Nazron Abd Rahman, 52, kini gigih menjalani proses pembelajaran ternakan terumbu karang bersama Yayasan Coral Malaysia (YCM) menerusi program MyCoral: Inisiatif Pendidikan Marin.

Program disertai sukarelawan YCM diadakan dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) di Ladang Coral, Pulau Bidong, selama tiga hari dan berakhir semalam.

Selain Presiden YCM, Jamhariah Jaafar, turut hadir Ketua Tanggungjawab Korporat TM, Izad Ismail dan Penasihat YCM, Prof Datuk Aziz Deraman.

Ahmad Nazron dari Kampung Kolam Mengabang Telipot berkata, selama ini dia tidak tahu terumbu karang boleh dijadikan sumber ekonomi yang menguntungkan.

"Selain menambah pendapatan, saya dapat mempelajari teknik menanam semula terumbu karang yang diambil bagi tujuan komersil.

"Memang kita ambil sebahagian daripada hidupan marin ini bagi tujuan eskport tapi dengan teknik yang betul dan dalam masa sama, kita tetap boleh memelihara khazanah marin ini daripada pupus dan rosak," katanya.

Mohd Jasni dari Kampung Tok Jembal, berkata, dia berharap bidang baru yang diceburinya mampu mengubah kehidupannya dan keluarga yang selama ini hanya bergantung pada sumber tangkapan ikan.

"Saya akan berusaha mengajak lebih ramai lagi nelayan menceburi bidang ini dan bagi meyakinkan mereka bidang ini memberi keuntungan besar, saya akan berusaha sehingga berjaya," katanya.

Bagi Mohd Jasmi, dia mengakui sebelum ini hanya melihat terumbu karang sebagai hidupan laut yang tidak mendatangkan hasil seperti ikan, sotong dan gamat.

"Sebelum ini saya melihat batu karang kosong tanpa nilai tetapi kini setiap terumbu karang yang ditanam di ladang coral adalah duit," katanya.

Sementara itu Jamhariah berkata, pengeluaran terumbu karang secara komersil berpotensi menembusi pasaran dunia dan meningkatkan pendapatan nelayan setempat jika diuruskan secara sistematik, mengikut protokol dan mendapat kerjasama agensi berkaitan.

Justeru itu, beliau berharap agensi seperti Jabatan Perikanan dapat melesenkan lebih banyak pihak yang berminat mengkomersilkan produk marin ini sebagai langkah permulaan untuk mengembangkan industri marin negara.

"YCM satu-satunya pihak yang diberikan lesen mengusahakan ladang terumbu karang secara komersil oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan ia tidak mampu bagi menampung permintaan tinggi daripada peminat akuarium marin dari seluruh dunia," katanya.

Menurutnya,, Indonesia adalah satu-satunya negara pengekspot terumbu karang terbesar dunia dengan 90 peratus dikuasai negara berkenaan.

Katanya, projek penternakan terumbu karang bagi tujuan eksport dimulakan sejak 2014 di dasar laut Pulau Bidong itu kini mempunyai 100 buah meja yang mempunyai 22 jenis koloni terumbu karang.

Sementara itu Izad berkata, Telekom Malaysia menyertai progam YCM sejak tahun lalu dan seramai 20 sukarelawan YCM menjalani program MyCoral: Latihan Menjadi Pelatih YCM.

"TM awalnya menyertai program ini bagitujuan pemuliharaan terumbu karang melalui penternakan dasar laut dan darat, tapi tahun ini kami bersetuju dengan cadangan YCM untuk memberi fokus terutama kepada kumpulan nelayan yang diharap dapat mendorong rakan mereka menceburi bidang yang memberi sumber pendapatan lumayan," katanya.

Berita Harian X