Khamis, 2 Ogos 2018 | 10:19pm
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

HMFD: MPK bantu Pejabat Kesihatan Daerah

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukan lebih RM300,000 setahun bagi penjagaan kebersihan di tandas awam di bawah pentadbirannya dalam usaha membantu Pejabat Kesihatan Daerah Klang menangani wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam daerah itu.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, usaha terbabit juga sebagai membantu walaupun kes HFMD terletak bawah bidang tugas pejabat kesihatan daerah Klang.

Bagaimanapun, katanya, MPK mahu bersama-sama membantu mengatasi wabak itu selain menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan.

"MPK memberi sumbangan kos menyelenggara dan penjagaan tandas awam di Klang kira-kira RM30,000 sebulan, jadi MPK belanjakan lebih RM300,000 setahun.

"Itu pun kerja-kerja asas sahaja dan kita tidak dapat buat sepenuhnya, maknanya kita lantik kontraktor, mereka jaga kebersihan, cuci tandas, sediakan sabun dan sanitizer di dalam tandas terbabit.

"Setakat ini terdapat 120 tandas awam di kawasan MPK termasuk di taman awam, pasar, padang permainan serta gerai-gerai MPK," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di program minum petang bersama Majlis Permuafakatan Pengerusi Persatuan-Persatuan Penduduk Bandar Bukit Raja Klang di Dewan Hamzah MPK Klang, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, selain pihaknya dan kontraktor dilantik, orang awam yang menggunakan tandas juga perlu bersama-sama menjaga kebersihan kemudahan yang disediakan itu.

"Semua yang guna tandas awam, khususnya tandas awam yang dibiayai oleh MPK diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan tandas, bukan untuk kebaikan mereka tetapi masyarakat umum seluruhnya," katanya.

Selain itu beliau berkata, MPK juga akan membantu dari segi kempen dan penerangan berkenaan wabak penyakit itu.

"Selain memberi penerangan mengenai denggi, kita juga akan selitkan penerangan membabitkan bahaya wabak penyakit HFMD," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,061 kes HFMD dilaporkan di daerah Klang dari tempoh Januari hingga Julai tahun ini, membabitkan sembilan sekolah.

"Buat masa ini sembilan sekolah terbabit dalam kes ini termasuk Sekolah Kebangsaan Cina Jenis Pandamaran A, Sekolah Kebangsaan Teluk Pulai, Sekolah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi, Sekolah Kebangsaan Bukit Rimau, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang," katanya.

Berita Harian X