Ahad, 29 Julai 2018 | 10:22am
PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Norashikin Mat Zain (dua kanan) bersama pelembap bibir dihasilkan menggunakan bahan semulajadi yang selamat digunakan orang ramai dan murah. - Foto Ihsan UMP

UMP hasilkan pelembap bibir bahan semula jadi

KUANTAN: Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan pelembap bibir dihasilkan menggunakan bahan semula jadi yang selamat digunakan dan murah.

Dr Norashikin Mat Zain yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia bioproses menghasilkan pelembap bibir jenama 'KINORA' itu selepas melakukan penyelidikan selama tiga tahun dan ia sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.

Ia dihasilkan menggunakan bahan premium seperti minyak zaitun, minyak almond, minyak marula, minyak peppermint, carnouba wax, tocopherol dan vitamin E yang berfungsi melembapkan serta memelihara kulit.

Norashikin berkata, beliau mendapat idea menghasilkannya selepas melihat kebanyakan kosmetik termasuk pelembap bibir dijual di negara ini dihasilkan menggunakan bahan kimia sintetik dan bahan pengawet yang tidak selamat untuk pengguna terutama wanita kerana mengganggu hormon badan.

Katanya, harga produk kosmetik dihasilkan menggunakan bahan semula jadi juga dijual mahal yang menjadi penghalang kepada pembeli selain kandungan bahan serta status halalnya turut diragui terutama yang dihasilkan di rumah sebelum dijual menerusi media sosial.

"Jadi saya buat penyelidikan dan mendapat formula untuk menghasilkan pelembap bibir diperbuat daripada bahan semula jadi, bagi tujuan itu saya mendapat geran berjumlah RM25,000 daripada UMP untuk mengeluarkan kumpulan pertama produk itu.

"Saya menghasilkannya di kilang bertaraf kilang Amalan Pengilangan Baik (GMP), sudah tentu dari segi kebersihan serta kualiti produk berkenaan terjamin berbanding produk dibuat sendiri di rumah," katanya ketika ditemui NSTP di UMP Kampus Gambang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, dari segi harga pula KINORA dijual pada harga RM40 lebih murah berbanding pelembap bibir lain dihasilkan menggunakan bahan semula jadi iaitu sekitar RM80 ke atas bergantung kepada jenamanya.

"Saya kini sedang menunggu sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dijangka menyerahkannya bulan depan, ia memberikan satu nilai tambah dan keyakinan kepada pengguna yang mahu mencari pelembap bibir halal," katanya.

Norashikin berkata, pada masa kini ia hanya dijual dalam skala kecil berikutan pengeluarannya adalah terhad dan beliau merancang mendapatkan dana lebih besar supaya produk itu dikeluarkan dalam jumlah lebih banyak.

"Maklum balas daripada pembeli adalah baik dan ia dapat merawat bibir merekah, sekarang ini ia hanya boleh digunakan kaum wanita dan kita merancang menaik tarafnya supaya boleh digunakan lelaki serta kanak-kanak.

"Selain pasaran tempatan, saya juga merancang memasarkannya ke luar negara seperti Brunei dan Singapura menggunakan syarikat ditubuhkan, Medieva Sdn Bhd bagi memenuhi permintaan kosmetik halal peringkat antarabangsa," katanya.

INFO

* Minyak marula digunakan untuk menghasilkan pelembap bibir jenama KINORA adalah baik untuk kesihatan kulit

* Minyak peppermint yang turut digunakan dalam menghasilkannya pula berfungsi menghilangkan kerengsaan dan menyegarkan kulit

Berita Harian X