Ahad, 29 Julai 2018 | 10:12am
TAN Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Lantikan Pengerusi FELDA dijangka selesaikan isu peneroka

KUANTAN: Keputusan kerajaan melantik Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi baharu FELDA dijangka dapat menyelesaikan beberapa masalah khususnya berhubung kelewatan bayaran elaun sara hidup dan hasil peneroka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah, berkata menerusi lantikan itu, FELDA boleh mengadakan mesyuarat bagi mencairkan dana yang sebelum ini memerlukan kelulusan ahli lembaga pengarahnya.

Katanya, masalah kelewatan bayaran hasil sawit juga dijangka dapat diatasi dengan syarat peneroka membuka akaun sendiri.

"Apabila dua perkara itu dapat diselesaikan, kewujudan orang tengah di kilang juga mampu diatasi.

"Pada masa sama, kita berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) memikirkan nasib peneroka dan membuat dasar tidak membebankan rakyat termasuk mengukuhkan hubungan diplomatik dengan China," katanya kepada NSTP di sini.

Jumaat lalu, FELDA mengumumkan pelantikan Megat Zaharuddin sebagai Pengerusi baharunyamenggantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang melepaskan jawatan pada 14 Mei lalu.

Peneroka FELDA sebelum ini dilaporkan berada dalam keresahan apabila pendapatan bersih mereka merosot teruk sehingga ada yang hanya mampu meraih RM280 hasil jualan komoditi itu pada bulan ini ekoran trend kejatuhan harga komoditi itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyatakan kebimbangan dengan nasib dihadapi peneroka FELDA yang didakwa tidak menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah turut menggesa kerajaan Persekutuan dan pengurusan FELDA memikirkan nasib peneroka tanah rancangan berkenaan supaya tidak terus dihimpit bebanan khususnya dari segi kewangan dengan situasi dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, banyak keluhan daripada masyarakat peneroka di 16 tanah rancangan FELDA dalam kawasan Paya Besar yang bimbang dengan perkembangan semasa membabitkan harga kelapa sawit di pasaran.

"Sebarang situasi atau tindakan diambil kerajaan tidak seharusnya menjadikan nasib masyarakat peneroka sebagai taruhan, fikirkan nasib warga mereka terlebih dahulu.

"Pisahkan politik dendam dan niat untuk mencari kesalahan orang sebab mereka adalah kerajaan membawa slogan harapan baharu, jadi tunaikan (manifesto) ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Berita Harian X