Jumaat, 27 Julai 2018 | 3:36pm
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latif (depan tiga dari kiri) memotong riben sebagai simbolik merasmikan Klinik Bantuan Guaman, Nilai. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan.

Klinik bantuan guaman MPN

NILAI: Majlis Perbandaran Nilai (MPN) mewujudkan Klinik Bantuan Guaman sebagai usaha mengelakkan perbalahan antara penguat kuasa dengan masyarakat mengenai undang-undang yang diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPN, Datuk Abd Halim Abd Latif, berkata klinik itu beroperasi di bawah seliaan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MPN.

Katanya, klinik itu diwujudkan untuk memberi maklumat mengenai bidang kuasa dan tindakan yang boleh dilakukan MPN di kawasan pentadbirannya.

"Ia juga menekankan penyampaian yang berkesan kepada masyarakat supaya permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan secara adil.


YANG Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latif ketika merasmikan Klinik Bantuan Guaman, Nilai. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan.

"Setiap permasalahan dan perasaan tidak puas hati yang timbul perlu ditangani secara berhemah ke arah mewujudkan suasana harmoni di antara penguat kuasa dan masyarakat," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, sejak penubuhan klinik pada Februari lalu, kesedaran masyarakat terhadap undang-undang MPN semakin meningkat.

Katanya, ia dibuktikan dengan peningkatan sebanyak 50 peratus penyelesaian kes kompaun berbanding sebelum ini.

"Sejak awal tahun hingga 23 Julai lalu, MPN mengutip kompaun sebanyak RM106,285 dan ia adalah jumlah kutipan kompaun tertinggi berbanding lima tahun sebelum ini dalam tempoh sama," katanya.

Berita Harian X