Sabtu, 21 Julai 2018 | 7:24pm
Pengarang Eksekutif Projek Khas NSTP, Othman Mamat (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta wang tunai kepada Salbiah Shaari 67, (tiga kiri) sempena Harian Metro Titipan Kasih Bulanan di Kampung Belakang Pekan Kuak, Lenggong. Turut sama, Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi (dua kanan) dan Penghulu Mukim Durian Pipit, Mohd Rizal Nordin (kanan). - Foto Abdullah Yusof

Sumbangan Titipan Kasih untuk perbelanjaan cucu

LENGGONG: "Wang bantuan diberikan ini akan saya gunakan untuk belanja sekolah tiga cucu yang menjadi yatim piatu selepas kematian kedua ibu bapa mereka manakala barangan keperluan asas diterima dapatlah digunakan untuk beberapa bulan.

"Pergerakan saya terbatas akibat angin ahmar setahun yang lalu, namun keadaan kini semakin pulih walaupun pergerakan masih sukar untuk bergerak ," kata Salbiah Shaari, 67.

Salbiah adalah seorang daripada penerima bantuan di Kampung Belakang Pekan Kuak, di sini, sempena Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang dianjurkan Harian Metro, semalam.

Selain menerima pelbagai barangan keperluan harian antaranya beras, gula dan minyak masak, Harian Metro turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga berkenaan.

Sumbangan disampaikan Pengarang Eksekutif, Projek Khas New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Othman Mamat.

Turut hadir Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi; Ketua Biro NSTP Perak, Jalal Ali Mohd Abdul Rahim; Penghulu Mukim Lenggong, Noor Adzahar Mohd Yunus dan Penghulu Mukim Durian Pipit, Mohd Rizal Nordin.

Salbiah berkata, walaupun menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM300 sebulan, namun jumlah itu tidak cukup untuk membiayai keperluan hariannya serta cucu-cucunya memandangkan ketiga-tiga mereka masih bersekolah.

"Saya tiada sumber pendapatan lain dan bergantung harap dengan bantuan diberikan Baitulmal, mujurlah kos perubatan saya ditanggung kerajaan termasuk ubat-ubatan yang diambil di Klinik Kesihatan Lenggong.

"Rumah yang saya duduki ini juga adalah rumah pusaka bapa dan tidak mempunyai wang untuk mengubahsuainya," katanya yang sudah kematian suaminya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, dia gembira serta berterima kasih kepada Harian Metro kerana memilihnya sebagai penerima dan berharap golongan kurang berkemampuan sepertinya akan terus dibantu.

Salbiah berharap ada pihak yang sudi memberikan bantuan kepadanya untuk membaikpulih rumah di bahagian bilik air dan bilik tidur bagi membolehkan kehidupannya lebih selesa.

Berita Harian X