Sabtu, 21 Julai 2018 | 6:53pm
MOHAMMAD Hakimi bersama isteri, Nurul Atiqah menaiki bot untuk berdakwah di Ulu Tembeling, Pahang. - Foto D J Dolasoh

Suami isteri bersemangat menjalankan kerja dakwah

GERIK: Satu keluarga berasal dari sini dianggap keluarga pendakwah apabila mereka kini giat menjalankan usaha berdakwah secara keluarga ke lebih sepuluh lokasi dalam negara tanpa menghiraukan pelbagai cabaran dan dugaan dihadapi.

Mohammad Hakimi Abdul Mutalib, 31, bersama isteri, Nurul Atiqah Nazaruddin, 30, dan anak mereka As Sayyidah Sumayyah yang baru berusia setahun kini sudah menjelajah ke Perak, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak untuk berdakwah.

Bagi keluarga ini, berdakwah secara keluarga mendapat lebih perhatian dan keyakinan orang ramai termasuk dalam kalangan Orang Asli dan pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak di kawasan pedalaman.

"Hidayah itu milik Allah. Meskipun ramai yang menyatakan rasa senang dan gembira dengan kehadiran kami sekeluarga ke kampung mereka, tetapi tidak semestinya mereka mahu masuk Islam terus.

"Saya tidak berputus asa walaupun usaha berdakwah sejak 2014 hingga kini hanya berjaya mengislamkan tidak sampai 20 orang, manakala isteri hanya seorang kerana saya yakin hidayah itu milik Tuhan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohammad Hakimi berasal dari Kampung Kerunai, di sini manakala isterinya dari Rawang, Selangor menghadiri program dakwah sekurang-kurangnya lima kali sebulan.

Terbaharu, dia bersama isteri dan anak berdakwah ke perkampungan Orang Asli Kampung Sungai Kucing, Ulu Tembeling, Pahang dengan menaiki bot dari Jerantut selama 5 jam termasuk terpaksa menolak bot yang dinaiki mereka kerana air cetek.

Menurutnya, dia sudah ke perkampungan itu lebih lima kali disebabkan penduduk Oang Asli di situ masih kurang pengetahuan agama, termasuk tidak tahu cara mengerjakan solat, membaca al-Quran dan bersuci.

"Kami tiga beranak sudah mesra dengan penduduk di situ dan sayangkan akidah mereka yang masih rapuh serta dikhuatiri akan balik ke pegangan asal mereka animisme atau tiada pegangan agama.

"Justeru, kami berulang ke perkampungan berkenaan dengan memberi pengetahuan agama, mengajar cara bersolat, bersuci dan mengajar al-Quran. Alhamdulillah, kini hampir semua mereka menyambut baik kedatangan kami itu," katanya.

Mohammad Hakimi memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir manakala Nurul Atiqah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau pada mulanya belajar berdakwah daripada gurunya seorang pendakwah terkenal Mohd Fadli Yusof serta turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pegawai daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Mohammad Hakimi yang kini bergerak menyampaikan dakwah melalui Kembara Syahadah Resources berkata, antara cabaran yang perlu dihadapi adalah kekurangan dana untuk bergerak lebih aktif terutama ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, hampir RM10,000 sebulan diperlukan bagi menjalankan misi dakwah, termasuk bagi membawa barangan keperluan untuk diagihkan kepada masyarakat di lokasi berkenaan dan berharap sumbangan orang ramai dalam bersama-sama melaksanakan usaha dakwah.

Berita Harian X