Rabu, 18 Julai 2018 | 3:29pm
TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob (tengah) bersama Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali (kanan) dan duta keselamatan Petron Malaysia, Kiran Jassal (kiri) pada Majlis Pelancaran Struktur GTSP di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2), Selayang, hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Petron stesen minyak pertama sertai inisiatif GTSP

GOMBAK: Petron Malaysia (Petron) menjadi syarikat minyak pertama di negara ini yang menjadikan lebih 600 stesen minyaknya di seluruh negara sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi inisiatif Go To Safety Point (GTSP).

Ketua Jabatan Dagangan Runcit Petron Malaysia, Faridah Ali, berkata untuk permulaan 10 stesen minyak sekitar Lembah Klang dipasang dengan paparan struktur GTSP menandakan stesen minyak berkenaan menawarkan bantuan kecemasan awal kepada mereka yang memerlukan.

"Papan struktur bersama mesej ringkas tetapi kreatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kewujudan GTSP di stesen minyak terbabit.

"Ini sebagai pemberitahuan yang stesen minyak kami bukan sekadar tempat mengisi minyak tetapi ia juga menawarkan respons asas awal untuk kes kecemasan termasuk mangsa kejadian jenayah," katanya pada Majlis Pelancaran Struktur GTSP di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob yang mewakili Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Tajuddin Md Isa. Turut hadir duta keselamatan Petron Malaysia yang juga Miss Universe Malaysia 2016, Kiran Jassal.

Faridah berkata, semua stesen minyaknya termasuk di Sabah dan Sarawak kini diiktiraf sebagai GTSP selain memastikan semua pengusaha Petron dan sebahagian kakitangan mereka dilatih mengendalikan situasi kecemasan oleh PDRM.

Inisiatif GTSP diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 dengan menjadikan kedai serbaneka 24 jam 7-Eleven dan pejabat pos sebagai rakan kongsi dan kini ia diperluaskan ke stesen-stesen minyak termasuk Petron.

Berita Harian X