Rabu, 18 Julai 2018 | 12:42pm
JABATAN Hidupan Liar (JHL) berjaya menangkap seekor buaya tembaga berukuran tiga meter panjang selepas lebih sebulan usaha memburu, di Kampung Marabau, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Sang bedal masuk perangkap

KOTA BELUD: Seekor buaya tembaga berukuran tiga meter panjang akhirnya ditangkap selepas lebih sebulan usaha memburu reptilia itu dijalankan di Kampung Marabau, di sini.

Reptilia jantan itu masuk ke perangkap yang dipasang Jabatan Hidupan Liar (JHL) di kawasan empangan Sungai Marabau, Ahad lalu.

Jurucakap JHL Sabah, Siti Nur Ain Ampuan Acheh, berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk sebulan lalu mengenai kelibat buaya yang sering berlegar berhampiran sungai berkenaan hingga menimbulkan kebimbangan.

"Ada penduduk mendakwa melihat kelibat buaya terbabit sejak tahun lalu ketika memancing dan menjala ikan di sungai berkenaan.


JABATAN Hidupan Liar (JHL) berjaya menangkap seekor buaya tembaga berukuran tiga meter panjang selepas lebih sebulan usaha memburu, di Kampung Marabau, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

"Oleh kerana ia sukar ditangkap dan lebih kerap dilihat berada di permukaan air sebelum hilang, kami menyediakan perangkap diperbuat daripada besi, dengan umpan daging ayam," katanya ketika dihubungi NSTP.

Siti Nur Ain berkata, usaha menangkap buaya itu turut mendapat kerjasama daripada penduduk Kampung Marabau yang membawa perangkap berkenaan di kawasan lapang sebelum diserahkan kepada pihak JHL.

"Penduduk membantu pihak JHL secara rutin dalam memastikan perangkap itu sentiasa berisi umpan dan kejayaan menangkap reptilia berkenaan juga sekali gus mengelak ancaman bahaya kepada mereka untuk menangkap ikan.

"Buaya ini kemudian dihantar ke Pusat Pemeliharaan dan Penyelamatan Haiwan Hidupan Liar (WRC) Lok Kawi di Kota Kinabalu," katanya.

Berita Harian X