Rabu, 18 Julai 2018 | 11:35am
EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong. - Foto Rasul Azli Samad

1,163 kes HFMD dilaporkan di Melaka

MELAKA: Sejumlah 1,163 kes jangkitan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sehingga Sabtu lalu.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, berkata berbanding tahun lalu, penularan jangkitan HFMD meningkat sebanyak 43.9 peratus berbanding hanya 808 kes dalam tempoh sama.

"Akibat penularan penyakit ini, dua taman asuhan kanak-kanak (TASKA) masing-masing di Alor Gajah dan Melaka Tengah diarahkan tutup sementara.

"April lalu, sebuah TASKA di Jasin, turut ditutup selepas premis ini mencatatkan tujuh kes HFMD," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chee Leong berkata, pengusaha TASKA, guru besar mahupun pengetua diminta melaporkan kepada JKN jika ada murid dijangkiti HFMD.

"Saya menasihati supaya pengusaha TASKA, guru besar dan pengetua tidak berselindung dalam kes (HFMD) ini.

"Selain itu, pengusaha TASKA perlu sentiasa memastikan kebersihan premis, terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak," katanya.

Beliau turut meminta pengusaha TASKA melaporkan kluster HFMD kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

HFMD ialah penyakit disebabkan virus dan gejala penyakit itu ialah demam, ruam di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah, serta tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).

HFMD disebabkan jangkitan virus khasnya dari jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan virus itu merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Berita Harian X