Selasa, 17 Julai 2018 | 4:11pm
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan memberi tabik hormat kepada kontinjen perbarisan ketika Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke 75 di Istana Arau. - Foto Azhar Ramli

Jalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan

ARAU: Kerajaan negeri ini diminta menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri ini.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, bertitah perbezaan idealogi politik tidak boleh dijadikan alasan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan negeri itu menjadi kerajaan pembangkang.

"Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak berusaha meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.

"Beta yakin tentu ada titik persamaan dalam soal agenda pembangunan demi faedah rakyat. Dalam hal ini, beta ingin menyeru kerajaan negeri menjalin hubungan kerja yang yang baik, mesra dan erat dengan kerajaan pusat," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis ke-75, di Balairong Seri, Istana Arau, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyampaikan anugerah darjah kebesaran dan pingat kepada 34 individu yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah.

Yang turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil,

Raja Perlis bertitah, barisan kepimpinan yang baru dilantik diseru supaya amanah yang diberikan rakyat pada PRU-14 dapat dipikul sebaik mungkin dengan penuh dedikasi, jujur, bertanggungjawab dan berintegriti.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, mereka yang dilantik perlu mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang sedia ada demi menjaga agama, rakyat dan nama baik negeri.

"Beta sukacita dengan perancangan pembangunan jangka panjang yang disusun untuk memakmurkan negeri ini.

"Segerakan pelaksanaan rancangan membina infrastruktur asas untuk menjadikan Perlis lebih menarik bagi pelabur," titah baginda.

Berita Harian X