Isnin, 16 Julai 2018 | 8:36am
SEORANG petugas memeriksa bangkai monyet Belanda yang ditemui di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar, Kinabatangan, Jumaat lalu. - Foto Jabatan Hidupan Liar Sabah.
BANGKAI monyet Belanda yang ditemui di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar, Kinabatangan, Jumaat lalu. - Foto Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Monyet Belanda ditemui mati di Kinabatangan

KINABATANGAN: Seekor monyet proboscis atau turut dipanggil monyet Belanda ditemui mati di santuari hidupan liar Kinabatangan berhampiran Pusat Penyelidikan Danau Girang, Jumaat lalu.

Bangkai monyet jantan itu ditemui oleh penyelidik dan kakitangan pusat itu yang memaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar selepas melakukan bedah siasat serta menanam bangkai berkenaan.

Jurucakap Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh, berkata berdasarkan maklumat kakitangan pusat itu, monyet itu mempunyai bisul terbuka pada pinggul kanan dan paru-paru kanan yang dipercayai menyebabkan kematiannya.

"Laporan penuh berkaitan bedah siasat tidak dihantar kepada jabatan dan punca kematian hidupan liar itu masih tidak dapat ditentukan.

"Kita akan tetap menyiasat kes ini kerana ia membabitkan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Luar 1997," katanya menerusi kenyataan di sini.

Minggu lalu, seekor gajah Pygmy Borneo yang cedera akibat terkena jerat dilaporkan mati di Santuari Gajah Borneo (BES), Kinabatangan beberapa hari selepas diselamatkan dari Sapagaya, Lahad Datu.

Turut dilaporkan mati adalah seekor orang Utan yang bangkainya ditemui berhampiran Hutan Simpan Kabili-Sepilok, di Sandakan.

Berita Harian X