Ahad, 15 Julai 2018 | 11:49am
IZAD Zainal Muhammad Safian. - Fot NSTP

Perhebat kutip cukai taksiran tertunggak

KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menubuhkan pasukan khas untuk mengutip cukai taksiran berjumlah RM14 juta yang tertunggak sejak 10 tahun lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian, berkata pasukan khas itu dianggotai 140 kakitangan dan ia akan mengesan pemegang akaun kediaman dan perniagaan yang gagal membayar cukai taksiran.

"Pasukan khas ini juga turut diberi kuasa untuk melaksanakan operasi sita jika pemegang akaun gagal memberikan kerjasama ketika operasi dijalankan.

"Berdasarkan rekod antara kawasan mempunyai tunggakan cukai taksiran yang tinggi adalah di pusat bandar.

"Ia diikuti Bandar Indera Mahkota, Cenderawasih, Bukit Setongkol, Perkampungan Sungai Isap dan Permatang Badak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Izad Zainal berkata, sehubungan itu semua pemegang akaun di kawasan pentadbiran MPK yang sudah menerima notis tunggakan diminta menjelaskan bayaran dengan segera.

"Sekiranya pembayaran sudah dibuat, kita tidak akan mengambil tindakan termasuk menyita aset mereka.

"Bagi pemegang akaun yang tidak menerima notis, mereka boleh menghubungi Bahagian Cukai Taksiran di talian 09-5121666," katanya.

Katanya, tindakan terhadap individu yang tidak menjelaskan bayaran cukai taksiran dibuat mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Berita Harian X