Sabtu, 14 Julai 2018 | 11:22am
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman membersihkan longkang pada Program Turun Padang di Pasar Pekan Manggatal oleh agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

Serah kuasa selesai isu tiada sijil lahir perlu kajian menyeluruh

KOTA KINABALU: Gesaan supaya Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa sijil lahir di negeri itu, perlu dikaji secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata perkara itu harus diteliti sama ada wujud sebarang implikasi sekiranya diluluskan.

Beliau berkata, antara aspek perlu dikaji ialah dari sudut perundangan kerana ia mungkin membabitkan pindaan undang-undang atau akta berkaitan.

"Ini permintaan mereka (Sarawak) yang saya fikir perlu dikaji kerana seperti diketahui, mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ada kuasa tertentu sepatutnya dilaksanakan kerajaan Sabah dan Sarawak.

"Jika ia dapat ditunaikan, sudah tentu kita di Sabah juga mahu kuasa sama diberi kepada kerajaan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Turun Padang di Pasar Pekan Manggatal oleh agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, dan Pengarah RELA Sabah, Mohammad Pauzi Jhumat.

Pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kelmarin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, menggesa Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu.

Khere Chiang dilaporkan sebagai berkata, statistik individu tiada sijil lahir, terutama kanak-kanak, dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri itu pada awal tahun ini, cukup membimbangkan.

Justeru, Khere Chiang berkata, adalah wajar untuk kerajaan Sarawak mengambil alih isu itu yang sukar ditangani dengan berkesan oleh Putrajaya.

Terdahulu pada program pagi ini, lebih 200 anggota pelbagai agensi bawah KDN bersama DBKK melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan Pasar Pekan Manggatal.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada peniaga di pasar berkenaan dan mendidik orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan.

Katanya, program sama akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk di daerah lain bagi mewujudkan persekitaran bersih dan sihat.

13 dibaca
Berita Harian X