Khamis, 12 Julai 2018 | 2:51pm
ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang. - Foto Mohd Aidil Abdullah

Serahkan kuasa tangani sijil lahir kepada negeri

PETRA JAYA: Kerajaan Persekutuan digesa menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri ini.

Gesaan itu disuarakan Lo Khere Chiang (SUPP-Batu Kitang) pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Khere Chiang berkata, angka ketiadaan sijil lahir yang dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, awal tahun ini, cukup membimbangkan.

Justeru, katanya, adalah wajar bagi kerajaan negeri mengambil alih isu itu yang sukar ditangani dengan berkesan oleh Putrajaya.

"Berdasarkan statistik Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, terdapat kira-kira 60,000 individu, terutama kanak-kanak yang tidak mempunyai sijil lahir di negeri ini.

"Jumlah itu cukup membimbangkan dan ironinya, hampir semua kanak-kanak itu dilahirkan di sini (Sarawak) tetapi sama ada ibu atau bapa mereka adalah warga asing," katanya.

Beliau berkata, kerenah birokrasi yang ketat di Putrajaya, antara faktor yang menyulitkan proses untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri itu.

"Saya ada berjumpa dengan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak untuk membincangkan isu ini, namun saya diberitahu bahawa keputusan untuk mengeluarkan sijil lahir adalah kuasa Putrajaya.

"Namun apa yang berlaku, pemohon terpaksa menunggu dalam jangka masa yang terlalu lama hingga bertahun-tahun untuk mendapat keputusannya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pentadbiran Putrajaya harus menyerahkan kuasa kepada JPN Sarawak untuk membuat keputusan berhubung pengeluaran sijil lahir.

"Ketiadaan sijil lahir menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, apa lagi hak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

"Mereka juga akan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan, tidak boleh membuka akaun bank, mendapatkan lesen memandu atau berkahwin," katanya.

Malah, katanya, ketiadaan dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka perlu membayar kos yang tinggi seperti warga asing jika mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Berita Harian X