Rabu, 11 Julai 2018 | 5:56pm
RAJA Zarith Sofiah berkenan mengadakan mesyuarat bagi menggerakkan projek perintis membantu golongan miskin bandar bersama Naib Canselor UTM, pensyarah serta wakil daripada Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) di UTM, Skudai. - Foto ihsan Royal Press Office

Projek perintis miskin bandar

JOHOR BAHRU: Satu projek perintis akan digerakkan dalam usaha membantu meningkatkan kualiti hidup golongan miskin bandar di negeri ini.

Menerusi laman sosial Facebook Royal Press Office, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah ia adalah rancangannya bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Titah baginda, inisiatif baharu itu membabitkan projek menaik taraf flat kos rendah berhampiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini.

Ia termasuk menyediakan pusat pembelajaran kepada kanak-kanak yang menetap di flat itu, taman permainan, kemudahan sukan untuk golongan remaja, menaik taraf kawasan tingkat bawah yang tidak digunakan sebagai taman serta menyediakan kemudahan jalur lebar kepada penduduk.

"Pada Mac lalu, saya berbincang bersama Tuanku (Sultan Ibrahim) mengenai inisiatif baharu bagi membantu menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang dihadapi golongan miskin bandar dan baginda berkenan untuk membiayai usaha ini," titahnya.

Justeru itu, Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM berkenan mengadakan mesyuarat bersama Naib Canselor UTM, pensyarah serta wakil Yayasan Sultan Ibrahim dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor (YRZSNJ) di Kampus UTM Skudai bagi mendapatkan perkembangan terkini serta idea lanjutan mengenai inisiatif baharu itu.

"Peruntukan peribadi Tuanku Sultan Johor akan disalurkan menerusi YRZSNJ dan diberikan kepada UTM yang akan bertindak memantau dan menguruskan kerja menaik taraf flat terbabit," titah baginda.

Baginda turut menyampaikan hasrat Sultan Ibrahim untuk melihat usaha itu diteruskan membabitkan flat dan rumah kos rendah lain sekitar Johor.

28 dibaca
Berita Harian X