Rabu, 11 Julai 2018 | 4:03pm
Pengarah Institut Pengajian Guru (IPG) Kota Bharu, Hashim Deraman (duduk hadapan, tengah) bersama sebahagian alumni dan pensyarah IPG Kota Bharu ketika sidang media di Tawang, Bachok. - Foto Ramli Ibrahim

Tukar IPG Kota Bharu jadi kolej vokasional satu kerugian besar

BACHOK: Langkah menukar fungsi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu menjadi kolej vokasional yang diputuskan kerajaan terdahulu, disifatkan satu kerugian besar kepada bidang pendidikan di negara ini.

Pengarah IPG Kota Bharu, Hashim Deraman, berkata institut itu sudah berjaya melahirkan lebih 32,000 guru sepanjang tempoh lebih enam dekad sejak ditubuhkan pada 1954.

Beliau berkata, IPG itu memiliki pensyarah berpengalaman luas dalam pelbagai bidang yang dapat membantu pihak guru dan sekolah untuk memacu kecemerlangan pendidikan.

"Kami turut menerima permintaan sekolah untuk melatih guru dalam perkhidmatan dari semasa ke semasa.

"Selain itu, menjalinkan perkongsian dengan pihak lain seperti menjadi pusat temu duga dengan kemudahan lengkap bagi pemilihan calon guru dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang terbesar di Pantai Timur serta Kelantan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Zulkifli Zakaria.

Ketika ini, Hashim berkata, seramai 164 pelajar semester lima dan tujuh sedang mengikuti pengajian yang dijangka tamat pada 2020 di institut itu yang juga IPG tunggal di Kelantan.

"Sejak diarahkan bertukar fungsi, seramai 152 pensyarah kami mengajar seperti biasa tetapi dengan bilangan pelajar yang sedikit dan kebanyakan kini memberi khidmat kepada sekolah.

"Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat membuat keputusan segera bagi mengekalkan fungsi IPG," katanya.

Wakil pensyarah, Muhaimin Saifuddin Mohd Salleh, pula berkata penukaran fungsi IPG Kota Bharu kepada kolej vokasional akan melenyapkan sejarah peranan institut berkenaan dalam bidang pendidikan negara.

Katanya, IPG Kota Bharu yang juga antara institusi perguruan tertua di negara ini, menghimpunkan pensyarah berpengalaman dalam 14 bidang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sementara itu, alumni IPG Kota Bharu, Tan Kee Hang yang kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Pura, di sini, berkata beliau akan mengadakan perjumpaan semula dengan 380 rakan sekampus antara 1986 hingga 1988, bagi menyatakan sokongan untuk mengekalkan institut itu.

Berita Harian X