Isnin, 9 Julai 2018 | 8:00pm
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg (kanan) menerima kunjungan hormat Baru Bian di Kompleks DUN Sarawak, Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad

Ketepikan perbezaan ideologi politik demi kemajuan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Pusat dan Sarawak perlu mengenepikan segala perbezaan ideologi politik bagi memastikan kesinambungan kemajuan negeri ini serta rakyatnya.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata walaupun kedua-dua kerajaan kini dipimpin gabungan parti politik berbeza, namun semangat berpasukan perlu ada dalam pelaksanaan agenda pembangunan dirancangkan.

Katanya, kementeriannya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan, sekolah dan hospital dapat dilakukan di negeri ini.

"Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg memberi jaminan kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan dalam konteks ini, Kementerian Kerja Raya.

"Beliau sangat terbuka dalam hal ini dan ia satu semangat yang sangat baik yang mana kita harus mengetepikan politik, terutama dalam membangunkan rakyat.

"Kita mesti fokus kepada usaha membangunkan Sarawak dan Malaysia untuk kebaikan rakyat, itu sangat baik," katanya kepada selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, petang tadi.

Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, berkata kesudian Abang Johari menerima kunjungan hormatnya jelas memperlihatkan sikap terbuka pemimpin itu.

Beliau berkata, banyak perkara dalam bidang kuasa kementeriannya, yang memberi impak kepada projek di Sarawak turut dibincangkan dalam pertemuan itu.

Katanya, pembangunan infrastruktur, sekolah dan hospital menjadi perkara yang amat mendapat perhatian serta sangat dekat di hati rakyat negeri ini.

"Saya memberitahu beliau (Abang Johari) kesemua isu ini mendapat perhatian rakyat Sarawak dan semua tahu saya dan serta rakan PH yang lain sering membangkitkan perkara ini.

"Justeru, kerjasama ini perlu bagi memastikan projek infrastruktur ini dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

39 dibaca
Berita Harian X