Ahad, 8 Julai 2018 | 2:29pm
DATUK Kamaruddin Md Nor mengadakan sidang media selepas bersarapan pagi bersama media Kelantan di Restoran Wau, Kota Bharu. - Foto Zaman Huri Isa

Kerajaan diminta batal tukar IPG Kota Bharu jadi kolej vokasional

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan meminta Kerajaan Persekutuan membatalkan keputusan pentadbiran terdahulu untuk menukar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu menjadi kolej vokasional.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata langkah menyemak semula kewajaran cadangan itu perlu demi kepentingan rakyat.

Katanya, beliau menerima banyak permintaan daripada bekas tenaga pengajar dan pelajar IPG Kota Bharu supaya PPBM Kelantan mengambil langkah untuk membantu mengekalkan institut itu.

"IPG Kota Bharu bermula sebagai Maktab Latihan Guru Kelantan (KTTC) pada 1944, diikuti penubuhan Malayan Teachers' Training College (MTTC) di Kota Bharu pada 1951.

"Pada 1957, namanya ditukarkan kepada Kota Bharu Training College (KBTC) dan menjadi Maktab Perguruan Kota Bharu (MPKB) pula pada 1975.

"Pada 2005, ia dinaik taraf menjadi IPG," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan ketua biro pelbagai agensi media, di sini, hari ini.

Dua tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Bajet 2017, mengumumkan sembilan daripada keseluruhan 27 IPG, akan ditukar menjadi kolej vokasional atau politeknik selaras perkembangan serta keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Berita Harian X