Khamis, 5 Julai 2018 | 7:05pm
AMINUDDIN menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 kepada Pensyarah Kanan IPGKRM, Dr Khairuddin Mohamad (kanan) sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 IPGKRM di Institut Pendidikan dan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Fungsi IPG Raja Melewar perlu dipertahan

SEREMBAN: Rancangan pengambilalihan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM) di sini, untuk dijadikan Kolej Permata Pintar (KPP) yang dijangka beroperasi pada tahun 2020, perlu dikaji semula.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata langkah itu berikutan perintah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir agar institut berusia 60 tahun itu dipertahankan.

"Saya menghadap Tuanku Muhriz dua minggu lalu dan baginda berkenan mahu saya menulis surat kepada Kementerian Pendidikan supaya menolak rancangan menutup IPG ini untuk digantikan dengan KPP seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Tuanku Muhriz berharap IPGKRM terus memainkan peranannya sebagai pusat pendidikan dan latihan guru yang penting," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan 2017 di IPGKRM di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu sudah diajukan kepada Kementerian Pendidikan dan pengumuman mengenainya dijangka dibuat selepas ia dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi.

Pada pembentangan Bajet 2017, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan sembilan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang tidak digunakan akan diubah menjadi politeknik dan kolej vokasional dalam usaha mengoptimumkan aset kerajaan.

Selain itu, dua IPG sedia ada iaitu IPGKRM dan IPG Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang diumumkan akan ditukar menjadi Pusat Permata sehingga mengundang bantahan banyak pihak sebelum ini.

Terdahulu, seramai 19 pensyarah IPGKRM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang disampaikan oleh Aminuddin pada majlis berkenaan.

78 dibaca
Berita Harian X