Rabu, 4 Julai 2018 | 2:46pm
PETUGAS khas MPK melakukan kerja meruntuhkan banggunan kedai runcit dan borong, Sri Warehouse selepas ingkar arahan notis mengosongkan bangunan sejak lima tahun lalu, atas sebab pelbagai antaranya kebersihan serta menyebabkan kesesakan lalu lintas kawasan sekitar di Jalan Bukit Ubi. - Foto Farizul Hafiz Awan
PETUGAS khas MPK melakukan kerja meruntuhkan banggunan kedai runcit dan borong, Sri Warehouse di Jalan Bukit Ubi. - Foto Farizul Hafiz Awan

MPK roboh premis perniagaan runcit gagal patuhi peraturan

KUANTAN: Selepas lima tahun penduduk mengadu, sebuah premis perniagaan runcit di Jalan Bukit Ubi, di sini, akhirnya dirobohkan hari ini oleh pihak berkuasa tempatan kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Operasi merobohkan premis itu diketuai Bahagian Perancangan bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), dengan dibantu oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian, berkata ada empat isu berkaitan premis itu yang beroperasi menggunakan permit dan lesen bangunan perniagaan sementara sejak 2002.

Beliau berkata, ia didakwa menghalang laluan kawasan perumahan penduduk setempat dan mengganggu ketenteraman awam, selain isu dari aspek kebersihan serta kesihatan.

"Kita menerima aduan pertama pada 2013 dan sudah mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis ini, namun ia tetap beroperasi seperti biasa.

"MPK kemudian mengambil tindakan menamatkan lesen dan permit perniagaan premis itu pada Januari lalu," katanya ketika ditemui di lokasi operasi terbabit.

Izad Zainal berkata, MPK turut mengeluarkan notis pemberitahuan pada 22 Mei lalu meminta pemilik untuk merobohkan premis perniagaannya itu.

Beliau berkata, MPK akhirnya melaksanakan operasi merobohkan premis perniagaan itu, bermula jam 9.45 pagi tadi, selepas notis pemberitahuan tindakan berkenaan dikeluarkan.

"Anggota polis turut berada di lokasi untuk membantu sekiranya timbul sebarang perkara tidak diingini," katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati tanah terbabit adalah kepunyaan pemilik premis, namun berstatus tanah kediaman dan bukan untuk pembangunan perniagaan.

Sementara itu, tinjauan wartawan pada jam 9 pagi tadi mendapati pemilik premis memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mengeluarkan barangan perniagaannya sebelum operasi meroboh bermula.

51 dibaca
Berita Harian X