Selasa, 3 Julai 2018 | 5:54pm
MAZLAN (duduk kanan) bersama Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Anuar Malek (duduk tiga dari kiri), dan Rosni (duduk dua dari kanan) pada Majlis Jamuan Raya Permuafakatan FELDA Gedangsa. - Foto Amrullah Abdul Karim

FGV Holdings jangan guris hati peneroka - ANAK

KUALA KUBU BHARU: Pengurusan FGV Holdings yang dahulunya dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati peneroka.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, berkata nasihat itu merujuk kepada kenyataan Pengerusi FGV Holdings, Datuk Azhar Abdul Hamid baru-baru ini yang didakwa seperti memberi gambaran syarikat itu tiada kaitan lagi dengan FELDA.

"Dari sudut organisasi (FGV dan FELDA) adalah berasingan. Tapi jangan lupa walaupun ia entiti yang berasingan tetapi kekuatan yang ada pada FGV itu adalah kekuatan yang dikongsi bersama dengan FELDA.

"Saya bimbang kalau ada pihak yang buat satu persepsi seolah-olah apa yang disebut oleh pengerusi FGV dalam satu sidang media sebelum ini bahawa FELDA ini tiada kaitan dengan FGV.

"Jadi, saya ingin menekankan bahawa 'sementara' kita bersetuju memang FGV ini entiti yang berasingan tapi dari sudut 'roh' dan kepentingan yang ada dalam FGV itu dia tak boleh dipisahkan dengan apa yang ada (kepentingan terhadap peneroka FELDA)," katanya kepada NSTP selepas Majlis Jamuan Raya Permuafakatan FELDA Gedangsa di sini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Anuar Malek; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar dan Pengurus Besar FELDA Wilayah Trolak, Haidir Moin.

Mazlan yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA berkata, FELDA, Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF), Yayasan FELDA dan FGV adalah empat entiti yang tidak boleh dipisahkan.

Beliau berkata, walaupun Azhar menggambarkan FGV dan FELDA sebagai suatu entiti yang berasingan dan bergerak mengikut peraturan ditetapkan, Mazlan mengingatkan bahawa FELDA Plantation mempunyai tanah seluas 334,000 hektar milik FELDA yang hanya dipajak selama 99 tahun kepada FGV.

"Maknanya itu tanah milik peneroka. Jadi, kalau kita buat kenyataan jangan lupa asal usul kita.

"Jangan lupa 34 peratus saham di dalam FGV adalah daripada FELDA, tujuh peratus saham itu daripada Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd (FAHC). Jangan lupa lima peratus saham itu datangnya daripada KPF yang menyumbang 800 juta saham mereka dan jangan lupa walaupun kecil dan sedikit 800 unit datang daripada peneroka FELDA.

"Dengan erti kata yang lain, kepentingan utama dalam FGV adalah daripada peneroka yang tidak boleh dipisahkan sama sekali," katanya.

Pada masa sama, Mazlan turut menyatakan keyakinan jika suara umum masyarakat FELDA mengenai usaha mengembalikan semula kepentingan FGV kepada FELDA diangkat, banyak perkara dan masalah yang membelenggu peneroka akan dapat pulihkan.

Katanya, keuntungan mencecah RM1 bilion dapat dijana daripada kepentingan di atas tanah FELDA yang dipajak kepada FGV.

"Ertinya, daripada RM1 bilion itu ia mewakili kepentingan hampir 80 peratus daripada kekuatan FELDA.

"Kalau suara daripada masyarakat umum dan peneroka khasnya diterima oleh kerajaan baharu saya yakin ini satu berita menggembirakan kerana ia kembali seperti sebelum penyenaraian (FGV) apabila kepentingan inilah yang dahulunya menjadi kekuatan kepada FELDA," katanya.

82 dibaca
Berita Harian X