Khamis, 28 Jun 2018 | 2:05pm
SUHAIZAN Kayat mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Johor ketika Mesyuarat Pertama (Memilih Speaker, Angkat Sumpah Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Memilih Timbalan Speaker) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Dewan Persidangan, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri. - Foto Hairul Anuar Rahim

Suhaizan angkat sumpah Speaker DUN Johor

ISKANDAR PUTERI: Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat, mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Suhaizan, 42, adalah satu-satunya nama yang dicadangkan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, untuk jawatan itu yang kemudian disokong Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam dan Pendidikan negeri yang juga Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan.

Suhaizan, lulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Sistem Komunikasi di UTM.

Beliau juga memegang jawatan setiausaha organisasi kebangsaan Amanah.

Selain itu semua 56 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor turut mengangkat sumpah jawatan.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker DUN Johor yang turut dicadangkan Osman dan disokong Aminolhuda.

Berita Harian X