Rabu, 27 Jun 2018 | 4:48pm
RIZAM Ismail. - Foto Roslin Mat Tahir

ADUN BN sedia jadi pembangkang berwibawa - Rizam

SABAK BERNAM: Pembangkang di sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi perlu bijak memainkan fungsi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail yakin kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Selangor bersedia menjadi pembangkang berwibawa dalam pentadbiran negeri itu.

Beliau yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, berkata biarpun bilangan ADUN BN dan PAS kecil, pihaknya bersedia menjadi pengimbang kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

"Walaupun kami (pembangkang) berada dalam kumpulan minoriti, kami akan pastikan menjadi pengimbang kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan kebajikan rakyat Selangor sentiasa terbela.

"Sebagai pembangkang, kami ingin buat yang terbaik demi kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita, malam tadi.

Rizam berkata, rakyat masa kini juga menilai kerajaan sama ada mampu melaksanakan sebarang janji atau sekadar bersikap populis semata-mata.

Rizam yang berusia 37 tahun turut berterima kasih kepada kepemimpinan tertinggi UMNO dan BN kerana memberi kepercayaan menggalas amanah terbabit ketika usia masih muda.

"Mereka (barisan kepemimpinan BN) percaya generasi muda pada hari ini perlu diberi ruang untuk membawa perubahan.

"Sudah pasti, pemimpin berpengalaman seperti Tan Sri Noh Omar dan Datuk Mohd Shamsudin Lias serta bekas Menteri Besar, Dr Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar akan dijadikan rujukan untuk membolehkan institusi Ketua Pembangkang berfungsi dengan baik.

"Tambahan pula, saya mengharapkan buah fikiran daripada orang ramai, terutama generasi muda yang berada di bandar dan luar bandar agar memberi input berguna untuk saya usulkan pada Sidang DUN Selangor," katanya.

Jawatan Ketua Pembangkang DUN Selangor kosong sejak Disember 2014 selepas ADUN Sungai Burong, Mohd Shamsudin meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan komposisi anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor.

14 dibaca
Berita Harian X