Sabtu, 23 Jun 2018 | 10:09pm
MAZLAN Mansor (kiri) menyampaikan Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Muhammad Nazran pada Majlis Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel (lelaki) Bilangan 3 Siri 3/2017 Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa di Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor hari ini. - Foto BERNAMA

Minat jadi polis sejak sekolah rendah tercapai

KUALA KUBU BARU: Apa sahaja drama atau filem mengenai kisah polis ditayangkan menerusi televisyen, pasti Muhammad Nazran Mohd Asri, 26, tidak ketinggalan menyaksikannya.

Minat dalam pasukan beruniform itu juga mendorong beliau memilih Kadet Polis dalam kokurikulum sekolah bermula di sekolah rendah hingga menengah dan diberi kepercayaan memegang jawatan Sub Inspektor Kadet Polis ketika di Tingkatan 5.

Kini, minatnya yang mendalam terhadap pasukan keselamatan itu diteruskannya dengan mengikuti Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 3 Siri 3/2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa selama enam bulan.

Malah, komitmennya yang tinggi menjadikan anak sulung daripada empat beradik itu merangkul Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan PLAK.

"Saya memang minat polis sejak sekolah rendah kerana penampilan seorang anggota polis yang kemas, segak dan mengutamakan disiplin dalam tugas.

"Sebaik tamat sekolah menengah, saya sambung belajar dan memohon untuk menyertai PLAK tahun lalu selepas mengetahui banyak kekosongan jawatan polis.

"Saya akan ikuti pengambilan pegawai polis berpangkat inspektor jika permohonan dibuka kelak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan PLAK, Konstabel Lelaki Bilangan 3 Siri 3/2017, PULAPOL Bukit Sentosa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Baru, pagi ini.


MUHAMMAD Nazran (tiga dari kiri) menunjukkan sijil dan anugerah yang diterima kepada bapanya, Mohd Asri Che Din (dua dari kanan) dan ibunya, Rozita @ Rahmah Hamid (tiga dari kanan) selepas Majlis Tamat Latihan, Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK), Konstabel Lelaki Bilangan 3 Siri 3/2017, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu pagi hari ini. - Foto Amrullah Abdul Karim

Majlis itu disempurnakan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Latihan Pengurusan Bukit Aman, DCP Datuk T Narenasagaran dan Komandan PULAPOL Bukit Sentosa, Superintendan Osman Mamat.

Muhammad Nazran berkata, beliau menjadikan bapanya, Sarjan Major Mohd Asri Che Din yang bertugas di Penjara Pokok Sena, Kedah sebagai inspirasi kejayaannya.

Katanya, selepas ini beliau akan ditugaskan di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan.

Sementara itu, bapa kepada seorang pelatih PLAK, Abdul Razak Mohd Zain, 58, berkata, anak keduanya, Mohammad Nur Azreen, 24, mengikuti jejaknya sebagai bekas anggota polis yang pernah berkhidmat selama 38 tahun di Balai Polis Gopeng, Perak.

Katanya, boleh dikatakan ramai ahli keluarganya meminati pasukan berpakaian seragam termasuk isterinya, Suzana Mohd Yusoff, 51, yang kini bertugas sebagai jururawat di Hospital Ipoh.

"Mohammad Nur Azreen memang minat dengan polis sehinggakan semua urusan mengikuti PLAK, dia uruskan sendiri.

"Abangnya bekas polis bantuan, malah ibu saudaranya juga anggota polis yang bertugas di Maktab PDRM di sini," katanya.

748 dibaca
Berita Harian X