Jumaat, 22 Jun 2018 | 8:41pm
PASUKAN Bomba dan Penyelamatdan melancarkan gerakan mencari seorang pemuda yang dikhuatiri lemas di Sungai Kemaman, petang ini. - Foto Rosli Ilham

Pemuda cari barang terpakai dikhuatiri lemas

CHUKAI: Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kemaman, tengah malam tadi.

Mangsa yang belum diketahui identitinya dan berusia dalam lingkungan 20-an dipercayai terjun daripada sebuah kapal yang dalam pembaikan di tepi sungai itu, kira-kira jam 12 tengah malam.

Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahya Hanafi, berkata mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan sedang mencari barangan terpakai di atas kapal berkenaan.

Katanya, seorang pekerja di kawasan limbungan kapal itu dikatakan menyedari perbuatan mangsa sebelum menyergah mereka.

"Terkejut dengan sergahan, mangsa dan rakannya cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai.

"Mangsa dipercayai tidak pandai berenang dan dikhuatiri lemas manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Yahya berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.35 tengah malam sebelum 10 anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

"Operasi membabitkan 30 anggota daripada pelbagai agensi seperti Bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

"Kita melakukan operasi selaman di dasar sungai, seberang sungai termasuk menyusuri sepanjang sungai menggunakan bot polis dan bomba," katanya.

Sehingga jam 7 malam ini, katanya, mangsa belum ditemui dan pihaknya akan memperluaskan operasi meliputi radius pencarian seluas satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas.

Berita Harian X