Rabu, 13 Jun 2018 | 5:39pm
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar bersama orang ramai Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri MAIPs kepada Asnaf Mualaf Perlis 2018 di Masjid Al-A'la Bohor Temak, Kangar, malam tadi. - Foto ihsan Istana Arau

MAIPs tubuh jawatankuasa khas bantu mualaf

KANGAR: Golongan mualaf tersisih daripada keluarga dan menghadapi kesulitan dalam ikhtiar hidup, akan dibantu bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membuat semakan terhadap status terkini seseorang mualaf.

"Ini rentetan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis pada 6 Ogos tahun lalu dan membuat keputusan mengenai tempoh lima tahun bagi menentukan status mualaf seorang saudara baharu.

"Golongan mualaf yang tersisih daripada keluarga dan menghadapi kesulitan dalam ikhtiar hidup, hendaklah dibantu bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih baik," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Sumbangan Hari Raya Aidilfitri MAIPs kepada Asnaf Mualaf Perlis 2018 di Masjid Al-A'la Bohor Temak, di sini, malam tadi.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, turut hadir bagi menyampaikan tazkirah.

Raja Muda Perlis bertitah, jawatankuasa khas dibentuk nanti akan mengenal pasti keperluan mualaf dari sudut ekonomi, selain latar penghayatan agama.

Titah baginda, selain golongan asnaf mualaf dibantu, kelas pengajian agama akan terus diperbanyak bagi memperhebatkan keimanan dan jati diri sebagai Muslim.

Baginda bertitah, antara langkah lain diambil ialah MAIPs sedang mengenal pasti pendekatan paling sesuai, dengan kerjasama agensi berkaitan, untuk mewujudkan ruang bazar asnaf yang akan turut membabitkan golongan mualaf.

"MAIPs juga akan terus memberi sokongan dengan memberi sejumlah peruntukan khas kepada pihak Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Perlis untuk pengurusan, selain memperuntukkan sumbangan bagi pelaksanaan kelas pengajian," titah baginda.

Seramai 700 mualaf hadir pada majlis itu dengan masing-masing menerima sumbangan MAIPs sebanyak RM200, membabitkan jumlah keseluruhan RM140,000.

Program tahunan sempena Ramadan anjuran MAIPs itu diadakan dengan kerjasama One Centre Malaysia Perlis.

40 dibaca
Berita Harian X