Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:06pm
IBU bapa dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3 yang menjayakan program memasak bubur lambuk, di sekolah itu, hari ini. - Foto Mohd Amin Jalil

1,110 murid dan guru terima bubur lambuk

SEREMBAN: Kesepakatan di antara guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang 3, dekat sini, terserlah ketika menjayakan program memasak bubur lambuk, di sekolah itu, hari ini.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Nik Safian Omar, berkata seramai 30 guru dan ibu bapa terbabit dalam program itu bermula daripada penyediaan bahan asas sehingga selesai memasak dan membungkus pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, pada program yang bermula jam 8 pagi itu, sebanyak 30 kilogram beras dimasak menggunakan empat periuk besar.

"Kos sebanyak RM800 daripada sumbangan ibu bapa dan guru digunakan bagi memasak bubur lambuk ini dan makanan ini kemudian diedarkan kepada 1,110 murid, guru dan kakitangan sekolah.

"Program ini julung kali diadakan sempena menyemarakkan semangat Ramadan, selain merapatkan hubungan persaudaraan di antara ibu bapa dan guru.

"Saya berpuas hati kerana program berjaya dijalankan dengan lancar dan bercadang menjadikannya acara tahunan pada masa depan," katanya.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Khalidah Omar.

Nik Safian berharap program itu menjadi pencetus semangat kepada PIBG dan guru untuk terus berganding bahu dalam menjayakan pelbagai aktiviti lain membabitkan kepentingan sekolah dan murid, pada masa depan.

"Saya harap aktiviti ini tidak berhenti di sini kerana banyak lagi agenda pendidikan dan pembangunan murid yang perlu dilaksanakan demi mencapai kejayaan," katanya.

Berita Harian X