Khamis, 7 Jun 2018 | 9:01pm
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 479 fakir miskin, mualaf serta asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Nurul Iman Batu 10 Kebun Bharu, Kuala Langat. - Foto Muhammad Sulaiman

479 asnaf daerah Kuala Langat terima duit raya

KUALA LANGAT: Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 479 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf daerah Kuala Langat.

Sumbangan berkenaan disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Nurul Iman Batu 10, Kebun Bharu di sini, hari ini.

Mengiringi baginda adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amin Ahya dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 479 fakir miskin, mualaf serta asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Masjid Nurul Iman Batu 10 Kebun Bharu, Kuala Langat. - Foto Muhammad Sulaiman

Setiap penerima menerima sumbangan duit raya berjumlah RM500 membabitkan jumlah keseluruhan sumbangan adalah RM239,500.

Terdahulu, Sultan Sharifuddin turut berkenan meluangkan masa untuk berbuka puasa di Masjid Nurul Imam yang di hadiri kira-kira 1,000 penduduk sekitar.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM35.1 juta bantuan zakat kepada keluarga asnaf fakir, miskin dan muallaf di negeri ini.

Daripada jumlah berkenaan, RM9.5 juta diagihkan kepada 12,528 keluarga asnaf fakir; RM23.4 juta diagihkan kepada 31,718 keluarga asnaf miskin dan RM2.1 juta kepada 5,777 penerima bagi asnaf mualaf.

Berita Harian X