Khamis, 7 Jun 2018 | 2:10pm
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan membaca surah al Hujarat pada Program World #QuranHour peringkat Negeri Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar. - Foto Azhar Ramli

#QuranHour, jadikan al-Quran sahabat - Raja Muda Perlis

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam apa jua keadaan.

Baginda bertitah, umat Islam juga perlu menjadikan al-Quran sebagai 'sahabat' dan amalan sedemikian seharusnya diteruskan pada hari mendatang.

"Ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW iaitu Iqra' yang bermaksud 'bacalah' menunjukkan kepentingan membaca dalam kehidupan kita.

"Penekanan membaca perlu diterap dari kecil lagi sebagai persediaan kepada anak-anak melalui hari yang serba mencabar dan penuh persaingan kerana pelbagai lambakan maklumat dicipta setiap hari," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada program World #QuranHour peringkat Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penganjuran ini satu inisiatif terbaik bagi menggalakkan rakyat mempelbagaikan lagi budaya membaca seterusnya memperkasa jati diri dalam era dunia tanpa sempadan ini melalui program keilmuan yang diadakan dari semasa ke semasa.

"Menyentuh berkaitan World #QuranHour , penganjuran program ini amat signifikan bagi menilai sejauh mana hubungan dan interaksi kita dengan al-Quran serta kesedaran mengenai perlunya kepada al-Quran, melihatnya sebagai panduan paling lengkap kehidupan.

"Ia juga membentuk perilaku ummah supaya amalan membaca al-Quran diterapkan dan membentuk akhlak mulia dalam diri semua insan.

"Saya percaya, program ini akan memberikan implikasi yang hebat terhadap pembudayaan al-Quran dalam kalangan umat Islam, perubahan cara berfikir bertunjangkan al-Quran serta kekuatan dan penyucian jiwa untuk sentiasa kembali berpegang kepada al-Quran," titahnya.

Baginda turut berharap seluruh masyarakat memanfaatkan 36 buah perpustakaan desa di seluruh negeri, perpustakaan bergerak dan Perpustakaan Bestari Samsung yang dilengkapi lebih 4,000 ebook yang sedia untuk diakses pada bila-bila masa.

"Pelbagai pilihan bahan bacaan sama ada bercetak, tidak bercetak ataupun dalam talian.

"Namun, nasihat saya pilihlah bahan bacaan yang berkualiti dan menjana pemikiran kita supaya menjadi lebih kritis serta kreatif dan bijak menggunakan maklumat itu," titah baginda.

Sementara itu, program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang bermula sejak jam 9.30 pagi ini dihadiri lebih 400 peserta.

Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Perlis, Mohd Shahril Mohd Syukri mengetuai bacaan surah al Hujarat.

Berita Harian X