Rabu, 6 Jun 2018 | 12:54pm
ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang berjubah dan berkopiah ketika menyediakan juadah bersahur di Program Singgah Sahur di Madrasah Darul Uloom Falah-e-Darain BDC, Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad
ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang berjubah dan berkopiah ketika menyampaikan juadah bersahur di Program Singgah Sahur di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad

Cara unik dekati rakyat

KUCHING: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, berjubah dan berkopiah ketika Program Singgah Sahur di Madrasah Darul Uloom Falah-e-Darain BDC, di sini, mencuri tumpuan, pagi tadi.

Biarpun berketurunan Cina, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu tidak sedikit pun berasa kekok sepanjang menghadiri program itu sambil menyediakan juadah bersahur.

Kehadirannya awal pagi tadi untuk bersahur bersama anggota keselamatan dan penduduk setempat, selain menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dikagumi pelbagai pihak.

Khere Chiang berkata, beliau turut mengambil kesempatan itu untuk bertanya khabar dan mendalami pemasalahan dihadapi penduduk di kawasan diwakilinya.

"Inilah cara kita di Sarawak yang sentiasa berpegang kepada prinsip keharmonian dan semangat penyatuan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, keturunan dan fahaman agama.

"Biarpun ada perbezaan dalam kalangan kita, namun ia bukan suatu kekangan untuk kita memupuk perpaduan yang sekian lama terjalin, sekali gus memperkukuhkan institusi rakyat di Sarawak," katanya.

Khere Chiang memaklumkan, itu kali pertama beliau menggayakan pakaian berkenaan, selain merasai sendiri suasana bersahur yang disifatkannya sebagai pengalaman istimewa.

Malah, beliau turut merancang untuk terus menggunakan pendekatan itu dalam memperkukuhkan hubungannya sebagai wakil rakyat dan penduduk di kawasan diwakilinya.

38 dibaca
Berita Harian X