Isnin, 4 Jun 2018 | 11:29am
ANGGOTA APM menangkap ular sawa berada di celah papan siling sebelum ditangkap menggunakan penjerut. - Foto Recqueal Raimi
ANGGOTA APM berjaya menangkap ular sawa seberat 6 kilogram di sebuah rumah, di Kampung Sabandar, Tuaran. - Foto Recqueal Raimi

Ular sawa baham 5 anak kucing

TUARAN: Kehilangan lima anak kucing peliharaan milik penduduk di Kampung Sabandar di sini, Khamis lalu, terjawab selepas seekor ular sawa seberat enam kilogram ditemui di sebuah rumah di kampung itu sebelum ditangkap, malam tadi.

Ketika kejadian jam 8 malam itu, Nurhajiah Jawan, 24, bersama ahli keluarganya menyedari kehadiran reptilia itu ketika berada di ruang dapur rumah.

Nurhajiah berkata, selesai berbuka puasa, abangnya melihat 'objek' bergerak di celah siling dapur itu sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Pagi khamis lalu, kami hairan sebaik mendapati lima anak kucing milik kami hilang dan hanya tinggal seekor sahaja (ibu kucing), walaupun rumah tidak dimasuki sesiapa.

"Kami yakin, ular yang ditangkap semalam ada kaitan dengan kehilangan lima anak kucing kami," katanya ketika ditemui NSTP.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis, berkata skuad bertugas yang diketuai Jennysen Moidin dengan tiga anggota lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

"Sebaik tiba, anggota APM mendapati seekor ular sawa sepanjang tiga meter dengan berat enam kilogram berada di celah papan siling sebelum ditangkap menggunakan penjerut," katanya.

Paulina berkata, operasi tamat pada jam 9 malam.

Berita Harian X