Khamis, 31 Mei 2018 | 10:34pm
PELAJAR Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Nurkhairin Nadhirah Saifuddin menggunakan aplikasi Maybank QRPay untuk membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan UTP Featuring Maybank QRPay di Desasiswa Ketiga UTP Seri Iskandar. - Foto L.Manimaran
PELAJAR Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Nurkhairin Nadhirah Saifuddin menggunakan aplikasi Maybank QRPay untuk membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan UTP Featuring Maybank QRPay di Desasiswa Ketiga UTP Seri Iskandar. - Foto L.Manimaran

Pelajar UTP anjur Bazar Ramadan tanpa tunai

SERI ISKANDAR: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Petronas (UTP) melaksanakan inisiatif menggalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan penuntutnya melalui penganjuran Bazar Ramadan UTP Featuring Mayban QRPay.

Inisiatif itu menjadikan ia satu-satunya Bazar Ramadan di kawasan wilayah utara yang menggunakan kaedah bayaran tanpa tunai dalam transaksi jual beli dan dipercayai juga yang pertama jualan cara itu di bazar Ramadan di negara ini.

Ia menggunakan kaedah pembayaran melalui aplikasi Maybank QRPay yang terdapat dalam aplikasi Google Play atau Apple Store Maybank2u.

Naib Presiden MPP UTP, Abdul Zahin Abdul Rahman, berkata sebanyak 29 gerai terbabit dalam menjayakan bazar berkenaan dengan 19 daripadanya membabitkan peniaga luar kampus, manakala 10 lagi adalah kendalian pelajar dan persatuan pelajar sendiri.


BAZAR Ramadan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menggunakan Featuring Maybank QRPay di Desasiswa Ketiga UTP Seri Iskandar. - Foto L.Manimaran

"Ini adalah inisiatif yang kami cuba laksanakan dalam menggalakkan pelajar melaksanakan dan menggunakan aplikasi pembayaran tanpa tunai kerana lebih selamat dan mudah digunakan.

"Untuk program Bazar Ramadan ini, kami bertuah kerana ia mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari Maybank di mana mereka turut memberikan potongan sebanyak RM2 bagi setiap pembelian melebihi RM3 dan ke atas menggunakan aplikasi Maybank QRPay.

"Ini bermakna jika barangan yang dibeli bernilai RM5, pelajar yang menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai hanya perlu membayar RM3 sahaja dan mereka mendapat lebih penjimatan selain menyokong usaha menjaya Revolusi Industri 4.0," katanya yang ditemui pada majlis penutup bazar berkenaan di sini hari ini.

Majlis penutup disempurnakan Pengarah Pusat Perkhidmatan Pelajar UTP, Talhah Hasan.

Abdul Zahin berkata, setakat ini pelaksanaan kaedah bayaran tanpa tunai di Bazar Ramadan yang dilaksanakan itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan di mana-mana Bazar Ramadan yang terdapat di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, bagi pembayaran di kafeteria dan kedai di sekitar kampus ia mungkin sesuatu yang tidak asing, tetapi bagi pelaksanaan di Bazar Ramadan ia adalah sesuatu yang baharu dan mungkin yang pertama dilaksanakan di negara ini.

Sementara itu, Talhah berkata UTP sangat menggalakkan penyertaan pelajar dalam melaksanakan program seumpamanya.

"Ini bagi membolehkan mereka merasai sendiri pengalaman seterusnya menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai.

"Saya juga bangga kerana apa yang dilaksanakan pelajar UTP ini adalah yang pertama seumpamanya dan membudayakan kaedah pembayaran yang lebih selamat, lebih-lebih lagi ia program yang diuruskan sepenuhnya oleh pelajar sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Eksekutif Khidmat Kewangan Maybank Kampus UTP, Amiera Mohd Asri, berkata Maybank hanya menjadi pemudahcara dalam membantu pelajar UTP menjayakan program ini dalam menggalakkan penggunaan aplikasi tanpa tunai.

Katanya, sepanjang empat hari program berlangsung bermula 28 Mei lalu lebih 1,000 transaksi tanpa tunai dicatatkan dan ia jelas menunjukkan pelajar selesa menggunakan kaedah pembayaran berkenan kerana ia lebih selamat.

12 dibaca
Berita Harian X