Khamis, 31 Mei 2018 | 3:55pm
ZAMRI Mat Kasim (empat dari kanan) bersama Ahli Majlis MPPD memegang replika hadiah di Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran di Bilik Mesyuarat Sri Tanjung 2, MPPD, Port Dickson. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Cabutan bertuah tarikan bayar cukai

PORT DICKSON: Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2018 anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang berakhir 28 Februari lalu berjaya menarik penyertaan 15,368 pembayar cukai di daerah ini.

Yang Dipertua MPPD, Zamri Mat Kasim berkata, kejayaan dapat dilihat dengan peningkatan jumlah pembayar cukai tahun ini melebihi sekali ganda berbanding tahun lalu.

Katanya, tahun lalu MPPD mengendalikan 7,127 bil dan jumlah itu meningkat kepada 15, 368 bil berbayar cukai tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 116 peratus.

"Tahun lalu tunggakan cukai sebanyak RM17 juta tetapi sehingga 28 Februari lalu kita peroleh RM15.3 juta. Lebih membanggakan, selepas tarikh itu, kita (MPPD) masih menerima bayaran cukai sehingga RM18 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.7 juta," katanya pada majlis cabutan bertuah di Bilik Mesyuarat Sri Tanjung 2 di sini, hari ini.

Sebanyak 83 hadiah disediakan termasuk hadiah utama Perodua Axia, selain dua motosikal, basikal, komputer riba, telefon bimbit dan pelbagai barangan elektrik.

Pemenang boleh menyemak nama di laman sesawang, Facebook dan Instagram MPPD esok dan hadiah akan disampaikan pada majlis khas Julai nanti.

Zamri berkata, 15 hadiah utama akan ditentukan pemenangnya dengan cabutan semula oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun, 29 Jun ini.

Dalam perkembangan lain, Zamri berkata, Ahli Majlis MPPD sedia ada hanya kekal sehingga Jun ini berikutan perubahan tampuk pemerintahan negeri.

"Saya berharap kerajaan negeri akan segera meluluskan nama yang dicadangkan untuk menganggotai Ahli Majlis MPPD yang baharu Jun ini untuk kita segera memanggil mereka dalam mesyuarat jawatankuasa kecil.

"Kita ada lapan ahli majlis kakitangan kerajaan dan baki 13 orang dari Pakatan Harapan dengan jumlah keseluruhan 21 termasuk seorang dari pertubuhan bukan kerajaan," katanya.

Berita Harian X