Rabu, 30 Mei 2018 | 3:06pm
KAKITANGAN E-Idaman membantu mengangkut sampah serta membersihkan kawasan perumahan yang di tenggelami air banjir lumpur di Taman Seri Kulim. - Foto Azahar Hashim

Banjir kilat pulih

KULIM: Semua 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah ini ditutup bermula 9 pagi tadi berikutan keadaan banjir kilat pulih sepenuhnya.

Cuaca yang baik membolehkan 1,239 mangsa membabitkan 364 keluarga dari lebih 20 taman perumahan dan kampung yang dilanda banjir kilat awal pagi semalam, pulang ke rumah masing-masing.

Antara kawasan yang teruk di landa banjir kilat ialah Taman Seri Kulim, Taman Tunku Putra, Jalan Tunku Bendahara, Kampung Darulaman, Kampung Air Merah, Kampung Padang Tembak serta beberapa kawasan lain.

Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata kesemua PPS yang ditutup adalah Sekolah Menengah Agamah Madrasah Ihsaniah Jangkang, Dewan Bandaran Kulim, Masjid Kilang Lama, Masjid Air Merah, Surau Al Husna, Kampung Seberang Jaya, Surau Kampung Padang Cina, Masjid Al Ittihad Sungai Kob, Dewan Kampung Darulaman, Surau Taman Sang Kancil, Sekolah Kebangsaan Pagar Museh, Dewan Masjid Kampung Sungai Limau dan Masjid Sungai Seluang.

"Saya berharap penduduk di kawasan yang sering di landa banjir sentiasa berwaspada dan mendengar nasihat anggota keselamatan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Hassan Abdul Aziz, 65, berkata kejadian banjir kilat ini adalah yang terburuk sejak 10 tahun lalu.

"Kejadian banjir kali ini paling teruk kerana paras air yang naik ialah sehingga paras 0.5 meter.

"Sebelum ini hanya paras betis sahaja, namun kali ini banjir kilat berlaku di luar jangkaan dan semua rumah di taman ini di masuki air," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, tinjauan di beberapa kawasan menunjukkan semua mangsa mengambil kesempatan cuaca panas hari ini untuk menjemur pakaian dan barangan perabot yang basah.

Syarikat Enviroment Idaman sdn Bhd (E-idaman) juga dilihat membawa beberapa jentera untuk mengangkut sampah seperti peralatan perabot yang dibuang penduduk serta membersihkan jalan daripada lumpur.

Berita Harian X