Selasa, 29 Mei 2018 | 2:30pm
AKTIVIS masyarakat, Faizah Qemerzaman (kanan) bertanya khabar kepada ibu tunggal yang juga pesakit HIV (tudung hitam) ketika ditemui di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Tiga keluarga bersesak dalam satu rumah

TUMPAT: Kesempitan hidup memaksa ibu tunggal yang juga pesakit HIV bersama lima anaknya bersesak bersama dua keluarga lain di sebuah rumah di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Wani, 42, berkata rumah pusaka milik arwah datuknya itu dihuni keluarganya bersama dua keluarga adiknya dan sepupu.

"Dengan jumlah keseluruhan 13 penghuni dalam sebuah rumah, keadaan memang tidak selesa sehingga anak terpaksa tidur di ruang tamu.

"Bagaimanapun, saya tiada pilihan dan terpaksa terus tinggal di rumah itu," katanya selepas menerima kunjungan aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman, 50, baru-baru ini.

Wani berkata, dia terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri kerana kesempitan hidup biarpun ada tanah pusaka milik datuknya.

"Arwah suami meninggal dunia 12 tahun lalu dan saya yang menghidap HIV tidak boleh berkerja kerana berdepan masalah kesihatan.

"Keluarga saya terpaksa bergantung harap dengan dua anak yang bekerja kampung dan pasar raya dengan pendapatan tidak seberapa untuk menyara keluarga," katanya.

Sementara itu, Faizah berkata, dia kini sedang berusaha mengumpul dana untuk pembinaan rumah Wani dan anaknya.

"Setakat ini, saya sudah memperoleh dana RM7,000 hasil sumbangan kenalan dan orang ramai sejak bulan lalu.

"Kerja pembinaan awal sudah dijalankan dengan kos RM3,000 dan saya berharap sumbangan diteruskan untuk realisasikan impian Wani serta keluarganya memiliki kediaman sendiri," katanya.

Susulan itu, orang ramai yang ingin menderma untuk pembinaan rumah Wani, boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Faizah di talian 0179239831.

Berita Harian X