Ahad, 27 Mei 2018 | 2:51pm
TUNKU Temenggung Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Ibni Armarhum Tuanku Abdul Halim Mu,adzam Shah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada adik Muhammad Haidar Rifaie Ahmad Hambali, 2 tahun enam bulan yang ditemani ayahnya Ahmad Hambali Mohd Puat (kanan) pada Program Sumbangan Hari Raya Yayasan Sultanah Bahiyah bersama Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Kedah (LKPI) di Hospital Sultanah Bahiyah.- Foto BERNAMA

YSB ceriakan 100 pesakit kanak-kanak di HSB

ALOR SETAR: Seramai 100 kanak-kanak yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, gembira apabila menerima sumbangan Aidilfitri dan cenderahati yang disampaikan Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim, hari ini.

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid, berkata program itu hasil kerjasama yayasan dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) yang mana sumbangan itu adalah daripada YSB serta sumbangan peribadi Tunku Puteri sendiri.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan sumbangan ialah RM5,000 dan program itu diadakan setiap tahun untuk memberikan keceriaan kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan di hospital sempena Aidilfitri ini.

"Ini antara bantuan yang diadakan setiap kali musim perayaan dengan mengadakan lawatan di wad kanak-kanak dengan kerjasama LKPI.

"Selain itu, YSB juga akan mengadakan satu lagi program bantuan pada 7 Jun nanti menggunakan dana melalui yayasan sendiri membabitkan 300 keluarga," katanya.

Turut mengiringi, Pengarah JKM Kedah, Azmi Abd Karim dan Pengerusi LKPI, Datuk Daharah Ismail.

Berita Harian X