Khamis, 24 Mei 2018 | 3:12pm
AKTIVIS masyarakat, Faizah Qemerzaman, 50, (kanan) turut menyerahkan sumbangan zakat yang dikirim penderma kepada Dolah Mamat, 85, di Kampung Pulau Tokang. - Foto Siti Rohana Idris

Agih juadah buka puasa untuk asnaf

- Gambar oleh Siti Rohana Idris

TUMPAT: Seorang aktivis masyarakat membantu golongan asnaf berbuka puasa dengan menyumbangkan makanan untuk berbuka puasa.

Faizah Qemerzaman, 50, yang bergiat aktif dalam bidang kemasyarakatan sejak 24 tahun lalu, memberi sumbangan itu kepada golongan asnaf di beberapa daerah di negeri ini.

Memperuntukkan RM15 bagi satu keluarga sejak lima tahun lalu, beliau akan membelikan apa sahaja juadah yang diinginkan penerima iaitu air minuman, lauk dan sedikit kuih pada harga berkenaan.

Faizah berkata, beliau akan berada di lokasi terpilih iaitu sekitar Pasir Pekan, Kok Majid, beberapa kampung serta daerah Rantau Panjang untuk menyampaikan juadah secara percuma.

"Setakat ini, lebih 300 orang menerima juadah berbuka puasa yang diagihkan secara bergilir bagi memberi peluang semua golongan asnaf yang dipilih menikmati juadah seperti orang lain.

"Saya terpanggil untuk menjalankan bantuan ini kerana simpati memikirkan nasib mereka yang tidak berkemampuan membayangkan juadah enak setiap kali tiba Ramadan," katanya ketika ditemui selepas selesai mengagihkan sumbangan zakat yang dikirim penderma di Kampung Pulau Tokang, di sini.

Faizah berkata, bilangan penderma tidak pernah berkurangan dan sudah ada beberapa individu tetap termasuk dalam kalangan peniaga makanan yang menjual makanan pada harga istimewa.

Malah, katanya, ada peniaga turut menyumbangkan juadah secara percuma kepada penerima.

Beliau yang pernah hidup susah menganggap dirinya sebagai orang tengah kepada penderma yang tidak tahu bagaimana dan kepada siapa untuk menyampaikan sumbangan derma.

Dari segi penyumbang pula, Faizah berkata, mereka bukan saja terdiri daripada kenalan, malah ada yang menghubunginya menerusi laman sosial untuk mengirimkan sumbangan zakat sebaik melihat kerja sukarelanya dipaparkan di Facebook.

Tidak hanya pada Ramadan, sumbangan diteruskan menjelang Aidilfitri apabila anak asnaf terpilih akan menerima sumbangan baju raya selain biskut untuk menyambut hari raya seperti orang lain.

"Saya biasanya memperuntukkan sehingga RM100 untuk sepasang baju dan pembelian akan dibuat sama ada terus ke pasar raya atau berhubung dengan kenalan yang memiliki butik pakaian dengan memberikan ukuran badan penerima untuk dijahit," katanya.

Berita Harian X