Khamis, 17 Mei 2018 | 3:19pm
PH merancang untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk penduduk di Bandaraya Miri dan kawasan luar bandar seperti Batu Niah, Long Lama dan Baram. - Foto Kandau Sidi

PH cadang bas percuma di utara Sarawak

MIRI: Pakatan Harapan (PH) negeri merancang menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk di utara Sarawak, seperti yang dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon, berkata langkah itu bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi penduduk di kawasan itu.

Katanya, sejumlah 70 unit bas awam perlu disediakan untuk tujuan itu, dengan anggaran kos berjumlah RM20 juta setahun.

"Kita berharap menerusi pendekatan ini, kos sara hidup penduduk di kawasan luar bandar di negeri ini akan dapat dikurangkan," katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Tiong Choon berkata, di Selangor, syarikat swasta dilantik bagi mengendalikan perkhidmatan bas yang disewa oleh kerajaan negeri itu.

Beliau berkata, syarikat itu dibayar kerajaan negeri untuk menyelenggara dan merancang laluan, termasuk jadual penghantaran.

Sebagai permulaan, katanya, perkhidmatan itu dicadangkan untuk beroperasi di bandar raya ini dan kawasan luar bandar seperti di Batu Niah, Long Lama dan Baram.

"Kita berharap kerajaan bersedia untuk memberikan peruntukan bagi menjayakan matlamat menyediakan pengangkutan awam percuma di utara negeri ini," katanya.

Berita Harian X