Rabu, 9 Mei 2018 | 2:45pm
PASUKAN Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menangkap seekor buaya jantan yang sering mengganas dan mengancam penduduk Kampung Rantau Panjang. - Foto ihsan SFC

SFC pindahkan buaya ancam penduduk

KUCHING: Seekor buaya jantan sepanjang 3.73 meter yang sering mengganas dan mengancam penduduk Kampung Rantau Panjang di sini, berjaya ditangkap, Sabtu lalu.

Operasi tangkapan itu dikendalikan Pasukan Tindakan Khas Hidupan Liar (SWAT), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di Sungai Sarawak di sini, berhampiran kawasan penempatan itu.

Jurucakap SFC dalam satu kenyataan, berkata operasi itu dilakukan susulan aduan penduduk kampung yang bimbang dengan kehadiran reptilia itu.

"Operasi dilakukan di sepanjang sungai dari Jambatan Batu Kawa hingga ke Jambatan Satok.

"Dengan penangkapan buaya itu, kita berharap penduduk kampung tidak lagi diselubungi kebimbangan," katanya.

Jurucakap SFC itu turut mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) atau agensi berkenaan jika melihat kehadiran buaya di persekitaran mereka.

"Jangan sesekali mengambil tindakan sendiri, termasuk menangkap atau membunuhnya kerana reptilia ini sangat berbahaya," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X