Ahad, 6 Mei 2018 | 6:54pm
KETUA Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) mendengar taklimat pembangunan projek Darul Hana, di Kuching. - NSTP/NADIM BOKHARI.

Bayaran premium tanah Sarawak dikurangkan separuh

Foto Nadim Bokhari

PETRA JAYA: Berkuat kuasa serta merta, bayaran premium tanah di kawasan skim perumahan rakyat di negeri ini dikurangkan separuh kepada RM2,500, berbanding RM5,000 sebelum ini.

Malah, kerajaan negeri turut menanggung kos pembinaan jalan, perparitan dan kerja menembok tanah di kawasan terbabit.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata keputusan itu diambil kerajaan negeri bagi mengurangkan beban rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

"Ia berkuat kuasa serta merta, rakyat tidak perlu bayar premium tanah RM5,000 lagi, bayar RM2,500 sahaja," katanya selepas meninjau projek Pembangunan Darul Hana di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakob di sini, hari ini.

Pembangunan Projek Darul Hana dibina di tapak seluas 292 hektar dan membabitkan penempatan 12 kampung keseluruhan merangkumi 2,526 unit rumah, selain jumlah penduduk terbabit dalam projek berkenaan adalah 16,655 penduduk.

Hadir sama, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar negeri, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Sementara itu, Abang Johari berkata, penduduk di 12 kampung bermula dari Kampung Boyan hingga Kampung Bintawa Hilir hanya perlu membawa beg pakaian sahaja masuk ke kediaman mereka kerana kos pembinaan perumahan semula sudah ditanggung kerajaan negeri.

"Pembinaan kediaman baharu berkenaan dibuat berdasarkan penilaian luas tanah di kawasan masing-masing.

"Kediaman yang paling rendah dibina membabitkan harga RM300,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, kos pembinaan ditanggung demi menjamin penduduk terbabit supaya tidak menanggung hutang dan mereka mampu memiliki aset harta bernilai tinggi.

"Bagi fasa pertama ini, dijangka rumah akan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya.

Ketika ini, projek Fasa 1 Blok 1A dan 2A dalam proses pembinaan membabitkan penempatan tiga buah kampung membabitkan Kampung Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu.

Projek Darul Hana dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 hingga 20 tahun.

Berita Harian X