Jumaat, 4 Mei 2018 | 4:19pm
PROF Datuk Dr. N S Rajendran semasa majlis Sidang Media Pelancaran Permohonan Atas Talian (ONLINE) di Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

1,000 tempat belia India ikuti latihan kemahiran SEDIC

PUTRAJAYA: Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyediakan 1,000 tempat khusus bagi belia India mengikuti kursus kemahiran dengan tajaan penuh.

Ketua Pengarah SEDIC, Datuk Prof Dr N S Rajendran, berkata belia yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian di laman web, www.sedic.my bermula hari ini hingga 6 Jun.

Beliau berkata, sebanyak 30 program ditawarkan di 29 Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka memulakan sesi latihan pada bulan depan.

Beliau berkata, pelajar yang memohon akan ditapis terlebih dulu berdasarkan terma dan syarat ditetapkan bagi memastikan mereka yang dipilih benar-benar daripada keluarga tidak berkemampuan, selain memberi keutamaan kepada belia berisiko tinggi seperti tercicir daripada sistem persekolahan.

"Inisiatif ini langkah proaktif SEDIC, sebuah unit di bawah JPM, dalam memastikan pelajar dalam golongan B40 mendapat manfaat pelajaran supaya tidak terjerumus dalam kancah negatif.

"SEDIC sentiasa peka dengan isu penempatan pekerjaan bakal graduan yang mengikuti kursus ini, kita menetapkan syarat kepada ILKS memastikan pelajar berjaya menempatkan diri dalam alam pekerjaan atau membantu mereka menyambung pengajian ke tahap tertinggi bagi memastikan mereka tidak menganggur atau tercicir.

"Belia yang terpilih juga akan menerima elaun sara hidup RM400 sebulan sepanjang tempoh pengajian dan peruntukan keseluruhan untuk kursus tajaan penuh ini sebanyak RM11 juta bagi tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Permohonan Dalam Talian Kursus Kemahiran di bawah ILKS Tajaan Penuh oleh SEDIC, JPM di sini, hari ini.

Rajendaran berkata, SEDIC turut bekerjsama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPM) bagi memastikan modul ditawarkan menepati kehendak ditetapkan, selain ILKS terpilih sudah melalui enam peringkat penilaian sebelum diperakukan.

Katanya, sejak 2014 hingga tahun lalu, lebih 800 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 22 ILKS dan 500,000 peserta mendapat manfaat daripada SEDIC dalam menjalankan aktiviti atau program khusus untuk masyarakat India dengan jumlah peruntukan sebanyak RM230 juta.

Berita Harian X